Oleh Aqilah HMS –
Petang itu langit mendung, seperti tahu ada sesuatu yang tidak kena. Aku dan tiga orang rakan, Haziq, Amir, dan Johan mendapat tugasan menghantar barangan ke Flat F, sebuah flat lama yang terkenal dengan kisah seramnya.
Flat itu sudah lama dan telah dipagar separuh, kononnya atas alasan keselamatan, tetapi banyak orang tahu sebab sebenarnya kerana terlalu banyak kisah misteri yang berlaku disitu.
Di sekeliling flat itu pun ada flat lain, sesetengahnya ada yang berpenghuni, tapi hampir keseluruhan kawasan di situ kosong dan sunyi seperti bertahun ditinggalkan.
Flat itu ada lapan tingkat, tetapi lift hanya sampai ke tingkat dua. Tangga ke atas berkarat dan bersawang. Aku dan Haziq ambil keputusan naik ke atas menghantar barang, manakala Amir dan Johan tunggu di bawah, konon-kononnya jaga barang lain. Tapi aku tahu, sebab sebenarnya mereka penakut.
Sampai di tingkat tujuh, tiba-tiba terasa sejuk yang menggigit kulit.

“Eh, macam ada aircond lah?” soal Haziq sambil menggosok lengan. Aku angguk. Udara terasa lembap, seperti bilik yang sudah lama tidak dibuka.
Tapi yang peliknya, bila kami naik lagi ke tingkat lapan, rasa sejuk itu hilang serta-merta. Udara kembali biasa. Malah terasa bahang petang menembusi dinding simen.
Kami letakkan barang di depan pintu rumah yang dikatakan penghuni baharu. Tiada siapa buka pintu, kami hanya tinggalkan pesanan suara dan turun semula.
Tapi ketika menuruni anak tangga, bulu roma aku tegak bila terdengar bunyi seretan, seolah-olah seseorang me-nyeret kaki di belakang kami.
Sampai di bawah, kelihatan seorang lelaki tua sedang menyuluh lampu ke arah flat.
Kami menegur, katanya dia penjaga kawasan. Bila kami beritahu kami baru hantar barang ke tingkat tujuh, mukanya berubah pucat.
“Eh, siapa suruh masuk flat ni? Tak ada orang tinggal sini. Kami datang tiap petang cuma untuk buka lampu dan elak penagih tumpang tidur,” katanya, suaranya mula bergetar.
Aku dan Haziq saling berpandangan. “Tapi tadi ada orang tempah barang…” balas Haziq.
Orang tua itu diam seketika, kemudian berkata perlahan, “Kalau kamu rasa sejuk tadi dekat tingkat tujuh, itu tempat perempuan yang gantung diri.
Dah bertahun rumah tu kosong, tapi banyak orang masih dengar bunyi tapak kaki dan kadang-kadang bunyi tali bergesel.”
Tiba-tiba, dari belakang bangunan, terdengar gonggongan anjing. Kuat dan nyaring.
Seekor anjing hitam muncul dari celah pagar dan menyalak ke arah tingkat tiga tanpa henti.
Suaranya bergema menambah seram suasana. Lelaki tua itu pegang lengan aku, “Kalau anjing salak tanpa henti, itu tandanya dia nampak benda yang kita tak nampak.”
Kami semua bergegas ke kereta. Tanpa banyak soal, terus hidupkan enjin. Tapi entah kenapa, sebelum aku masuk dalam kereta, aku sempat toleh ke atas dan di situ, di tingkat tujuh, aku nampak sesuatu yang tak masuk akal.
Mula-mula aku ingat kain. Tapi setelah aku perhatikan betul-betul. “KAKI!” jerit aku. Sepasang kaki. Hanya kaki, tergantung di celah balkoni.
Tiada badan. Tiada bayang. Hanya sepasang kaki pucat yang terayun perlahan seperti ditiup angin. Meskipun flat itu agak sedikit tinggi, tapi aku dapat nampak dengan jelas.
Muka kami pucat, peluh membasahi badan. Kami semua berdiam diri dan meninggalkan Flat F tanpa menoleh lagi.
Sejak hari itu, aku tak lagi buat penghantaran ke kawasan itu. Haziq berhenti kerja seminggu selepas kejadian. Katanya, malam-malam ada suara ketuk tingkap rumahnya sambil berbisik, “Barang dah sampai ke…?”
Dan sampai hari ini, aku masih tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang tempah barang itu? Sedangkan tiada siapa pun tinggal di situ.

