Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fleetwood akhirnya juara Jelajah PGA

    WASHINGTON, 25 OGOS – Tommy Fleetwood menamatkan penantian panjang untuk gelaran pertama Jelajah PGA kelmarin, menewaskan Patrick Cantlay pada penghujung perlawanan untuk memenangi Kejohanan Jelajah serta meraih hadiah utama AS$10 juta dan kejuaraan playoff Piala FedEx.

    Fleetwood dari England, yang sebelum ini pernah memenangi tujuh kejohanan Jelajah Dunia DP dan mencatat 30 kedudukan lima terbaik di Amerika Syarikat (AS) termasuk enam kali naib juara, menamatkan pusingan dengan dua-bawah-par 68 untuk jumlah 18-bawah-par 262 dan menang tiga pukulan di East Lake, Atlanta, Georgia.

    Dua minggu selepas melepaskan kedudukan pendahulu lewat Ahad di Kejohanan St Jude, Fleetwood menamatkan saingan tiga pukulan di depan bekas juara Piala FedEx, Cantlay, dan pemain nombor lima dunia, Russell Henley.

    “Saya amat gembira kerana berjaya dan berpuas hati dengan permainan saya,” kata Fleetwood. “Saya akan terus cuba memperbaiki diri dan menjadi yang terbaik yang saya mampu.”

    Bermula dengan kedudukan seri bersama Cantlay, Fleetwood mencatatkan birdie 19 kaki pada lubang kedua par-tiga.

    Reaksi Tommy Fleetwood bergambar dengan trofi Piala FedEx selepas memenangi pusingan akhir Kejohanan Jelajah 2025 di East Lake Golf Club pada 24 Ogos di Atlanta, Georgia. – AFP

    Dia kehilangan satu pukulan pada lubang kelima tetapi menambah kelebihan tiga pukulan dengan birdie di lubang keenam dan ketujuh, termasuk satu pukulan keluar dari bunker fairway ke jarak 12 kaki.

    Fleetwood mengekalkan kelebihan dengan par yang baik di lubang kelapan, namun satu pukulan tee yang tersasar di lubang 10 membawa kepada bogey. Kedudukannya kemudian mengecil kepada satu pukulan apabila Cantlay mencatatkan birdie lima kaki di lubang 10.

    “Saya agak tidak menentu hari ini tetapi berasa bangga kerana berjaya menemui semula ayunan saya sekitar lubang 11 atau 12,” kata Fleetwood.

    Cantlay, juara Piala FedEx 2021 yang meraih gelaran Jelajah AS terakhir pada 2022, bermula buruk dengan bogey di lubang pertama dan double-bogey di lubang kedua.

    Namun dia bangkit dengan birdie di lubang ketiga dan keenam, termasuk pukulan dari bunker ke jarak tiga kaki. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda