Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fleetwood dahului PGA St. Jude

    WASHINGTON, 10 OGOS – Tommy Fleetwood, yang sedang memburu gelaran pertama dalam Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS), mengekalkan kelebihan satu pukulan ke atas rakan senegaranya dari England, Justin Rose, selepas pusingan ketiga Kejohanan PGA St. Jude kelmarin.

    Fleetwood menamatkan pusingan dengan bogey untuk mencatat 69, satu di bawah par, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 14 di bawah par 196 selepas 54 lubang di TPC Southwind, Memphis, Tennessee, dalam acara playoff Piala FedEx pertama.

    “Saya melakukan pukulan tee yang baik, satu kelebihan besar di padang golf ini,” kata Fleetwood. “Kadangkala, saya dapat rentak yang bagus dan rasa selesa dengan rutin saya.”

    Rose, juara Terbuka AS 2013 dan pemenang Olimpik 2016, menamatkan pusingan dengan birdie untuk mencatat 67 dan jumlah keseluruhan 197.

    Pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler mencatat 65 untuk menduduki tempat ketiga dengan 198, manakala rakan senegaranya dari AS, J.J. Spaun, juara Terbuka AS dan Andrew Novak berkongsi tempat keempat dengan 199.

    Fleetwood, yang telah memenangi tujuh kejohanan dalam Jelajah DP World dan membuat penampilan ke-162 dalam Jelajah PGA, menduduki tempat kedua sebanyak enam kali dalam Jelajah AS, termasuk kekalahan dalam playoff kepada ketua pasukan Piala Ryder AS, Keegan Bradley, pada Travelers Championship Jun lalu.

    “Saya lebih suka berada di sana dan gagal daripada tidak berada di sana langsung, jadi dalam apa jua keadaan, itu perkara yang baik,” kata Fleetwood mengenai kelemahannya memenangi gelaran PGA. “Ya, memang sakit apabila ia tidak berlaku untuk awda dan perkara itu sering dibincangkan. Sudah tentu ini bukan masa kegemaran saya.

    “Sudah lama saya berusaha untuk menang di sini dan saya masih belum berjaya. Lagi banyak saya berada di posisi itu, lagi besar peluangnya, jadi saya akan terus keluar dan belajar daripada setiap pengalaman.

    “Esok mungkin hari saya. Mungkin juga tidak. Tetapi berada di situ adalah yang paling penting dan saya akan terus berusaha.” – AFP

    Tommy Fleetwood dari England melakukan pukulan di lubang ke-17 semasa pusingan ketiga Kejohanan FedEx St. Jude 2025 di TPC Southwind pada 9 Ogos di Memphis, Tennessee. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda