BARCELONA, 10 APRIL – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick memberi amaran kepada saingan Liga Juara-Juara mereka yang pasukannya akan terus berusaha untuk maju selepas menewaskan Borussia Dortmund 4-0 kelmarin.
Pasukan Catalan melangkah satu kaki ke separuh akhir dengan perlawanan pertama membelasah naib juara tahun lalu di Stadium Olimpik.
Barca adalah penjaring terbanyak pertandingan dengan 36 gol dan trio penyerang dinamik mereka Robert Lewandowski, Raphinha dan Lamine Yamal telah mengasak hebat ke atas pasukan lawan.
“Saya mahu terus meningkat, hari ini kami melihat beberapa perkara yang boleh kami perbaiki,” kata Flick.
“Kami akan menganalisis perlawanan ini dan saya akan memberitahu pemain bahawa mereka bermain dengan sangat baik, tetapi masih ada perkara yang perlu diperbaiki.
“Saya sangat gembira dengan keputusan hari ini tetapi ia hanya langkah pertama.”
Raphinha menjaringkan gol ke-12 Liga Juara-Juara musim ini menjadikannya penjaring terbanyak dalam pertandingan itu serta menambah dua bantuan.
Pemain Brazil itu mempunyai 19 sumbangan gol langsung musim ini di Eropah, menyamai rekod bekas pemain hebat Barca, Lionel Messi semasa di kelab tersebut.
“Saya selalu fikir dia pemain yang luar biasa. Keupayaan pasukan terletak di atas bahunya,” kata jurulatih itu.
Sementara itu, Niko Kovac kecewa dengan prestasi Dortmund.
“Ia adalah kekalahan yang wajar (tetapi) kami boleh mendapat gol, kerana kami semua tahu perlawanan timbal balik akan menjadi sangat sukar,” kata jurulatih Kovac.
“Saya optimis tetapi saya perlu bersikap realistik. Ia adalah keputusan yang sangat besar, peluang kami untuk melaluinya adalah minimum.
“Kami tahu ia akan menjadi sukar tetapi kami perlu mempunyai harapan, kerana tanpa harapan, ia mustahil,” tambahnya. – AFP
