SIAPA tidak kenal dengan kumpulan Flop Poppy yang menyerlah menerusi lagu Cinta, Aku & Kamu, Masih dan Rest of My Life. Kumpulan ini wujud di industri muzik tempatan sejak hampir 30 tahun lalu dengan lagu genre romantis dan cinta yang bukan leleh.
Khabar gembira buat peminat apabila anggota asal Flop Poppy iaitu Andy (vokal & gitar), Mijie (gitar), Megat (gitar), Wandy (bass) dan Bakri (dram) bergabung semula untuk sebuah persembahan khas baru-baru ini.
Andy berkata, gabungan semula Flop Poppy bermula selepas pemergian bekas pemain dram mereka Azman Ismail atau Man Kanan.
“Kematian Allahyarham Man secara tiba-tiba memang mengejutkan kami semua. Ini kali pertama seorang daripada anggota kami meninggal dunia dan hikmahnya ia menyatukan semula anggota Flop Poppy sudah bertahun-tahun membawa haluan sendiri.
“Dari situlah kami berkumpul semula, berbual mengenai kisah lama dan kemudian kami jamming semula suka-suka dan rasa seronok,” katanya.

Menurut Andy, pertemuan mereka tidak berakhir setakat itu kerana daripada suka-suka bertukar menjadi serius sehingga menghasilkan lagu baharu.
“Kami muat naik gambar di laman sosial dan seorang kawan lama, Seir Rashid tertarik dan terus mencadangkan kami membuat persembahan.
“Bagi kami, ia satu peluang keemasan kerana kami sudah lama tak bersama. Saya sebenarnya aktif bermain muzik dengan band lain dan kerap berhubung dengan Megat.
“Bakri pula sibuk dengan Gerhana Ska Cinta. Cuma, Wandy sukar dihubungi kerana berada di Terengganu. Masing-masing teruskan hidup dengan cara sendiri,” katanya.
Menurut Andy, dalam sejarah Flop Poppy tiada mana-mana anggota yang dibuang tetapi sebaliknya mengundurkan diri kerana terikat dengan komitmen lain.
“Mana yang aktif dalam muzik, kami pasti akan bertemu di mana-mana persembahan pentas. Jadi, kami memang tiada masalah nak bergabung semula.
“Ketika bergabung ini, kami ambil peluang buat praproduksi 10 lagu baharu yang masih kekal dengan ‘trademark’ Flop Poppy. Itu memang campuran idea kami berlima.
“Flop Poppy kali terakhir beraksi dalam satu persembahan di Sydney Australia pada 2009. Kali ini kami teruja kerana ia menampilkan anggota asal Flop Poppy,” katanya. – Agensi