Pelakon Hollywood, Florence Pugh mendedahkan pengalaman mencemaskan, namun, penuh makna ketika menjalani penggambaran filem Marvel, Thunderbolts, di Malaysia baru-baru ini.
Menerusi satu temu bual di TikTok GSC, bintang filem itu berkongsi perasaannya ketika melakukan babak aksi paling mendebarkan iaitu terjun dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118 di ibu negara.
“Saya sangat bersemangat sepanjang penggambaran. Dalam fikiran saya, saya sudah bersedia. Saya fikir, ya, kami akan naik dan terjun dari situ’.
“Tapi bila tiba masanya, bila kami betul-betul diberi lampu hijau, saya mula rasa macam, alamak, sekarang saya kena betul-betul hadam kenyataan nak terjun dari bangunan ini,” katanya.
Lebih menarik, pelakon berusia 28 tahun itu menyifatkan dirinya seolah-olah mempunyai hubungan peribadi dengan menara Merdeka 118 sepanjang tempoh dia berada di Kuala Lumpur.

“Selama beberapa hari itu, saya rasa seperti ada hubungan yang mendalam dengan bangunan itu.
“Saya berbicara dengan diri sendiri, cuba berdamai secara dalaman dengan apa yang bakal saya lakukan. Ia bukan sekadar aksi, tapi satu pengalaman yang sangat emosional,” katanya.
Florence turut menyifatkan detik terjunan itu sebagai ‘pengalaman yang gila’. namun, sangat bermakna buat dirinya sebagai pelakon.
“Saya sukakannya. Ia antara pengalaman paling luar biasa sepanjang karier saya dan berada di Malaysia, saya benar-benar jatuh cinta dengan tempat ini.
“Saya harap dapat kembali ke sini dan luangkan lebih banyak masa,” katanya.
Florence yang hanya berada di Malaysia selama beberapa hari berkata, sesi penggambaran untuk babak itu berlaku dalam tempoh yang sangat singkat, dengan satu hari digunakan untuk latihan dan keesokan harinya terus menjalani penggambaran sebenar.
Dalam pada itu, Florence juga memuji keunikan makanan tempatan yang sempat dicubanya sepanjang berada di tempat itu.
“Masakan Malaysia memang luar biasa. Saya nak cuba belajar beberapa resipi terbaik dan pasti akan bawa satu hidangan Malaysia dalam Cooking With Flo (rancangan memasaknya) nanti,” katanya.
Filem Thunderbolts sebahagian daripada fasa baharu Marvel Cinematic Universe dan menyaksikan barisan watak antihero bersatu dalam satu misi berbahaya.
Pembabitan Florence sebagai Yelena Belova, bekas Black Widow, menjadi antara daya tarikan utama filem itu, yang turut menggunakan latar Kuala Lumpur sebagai lokasi aksi utama.
Kehadiran produksi antarabangsa seperti Marvel bukan sahaja meletakkan nama Malaysia di peta perfileman global, tetapi juga membuka peluang untuk mempromosikan keindahannya dan bangunan ikonik seperti Merdeka 118 kepada dunia. – Agensi