Pelakon British, Florene Pugh mengambil keputusan melakukan proses pembekuan telur kerana bimbang tidak berpeluang menimang cahaya mata suatu hari nanti.
Florence, 27, berkata, dia memutuskan menjalani prosedur berkenaan selepas disahkan menghidap masalah kecelaruan hormon (PCOS) yang menjejaskan tahap kesuburan.
Memetik laporam mStar, dia turut mengalami masalah lebihan tisu pada bahagian luar rahim yang menghalang kehamilan berlaku.
“Tahun lalu saya rasa ada kelainan pada diri dan apabila membuat pemeriksaan hasilnya tidak berapa baik.
“Doktor menjangkakan saya mungkin tidak dapat hamil disebabkan penyakit yang saya hidapi,” katanya.
Dalam pada itu, bintang filem Oppenheimer itu memberitahu dia bersyukur kerana tergerak hati melakukan pemeriksaan kesuburan selepas mengalami mimpi pelik beberapa kali.
Jelasnya, sekiranya dia lambat mengambil tindakan kemungkinan impiannya untuk mempunyai zuriat sendiri tidak kesampaian.
“Mujur saya sedar masalah saya lebih awal dan buat rawatan cepat. Saya memang menginginkan anak sejak dari kecil lagi.
“Nak-nak pula saya datang daripada keluarga yang besar. Saya tak sanggup lihat nasib saya berbeza dengan adik-beradik lain,” jelasnya. – Agensi