Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Pemimpin-pemimpin dunia yang menghadiri Acara Penggunaan Tanah dan Hutan (FLU) Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Dunia (WLS) bersetuju serta menyokong Deklarasi Pemimpin-pemimpin Glasgow bagi Penggunaan Tanah dan Hutan di mana mereka mengambil maklum akan peranan kritikal semua jenis hutan, biodiversiti dan penggunaan tanah mampan dalam membolehkan dunia untuk mencapai matlamat pembangunan mampan.
Para pemimpin juga bersetuju untuk membantu mencapai keseimbangan antara pelepasan gas rumah hijau antropogenik dan penyingkiran oleh sink, menyesuaikan diri kepada perubahan iklim serta untuk mengekalkan perkhidmatan-perkhidmatan ekosistem yang lain.
Para pemimpin bersetuju untuk mengesahkan semula komitmen mereka secara individu dan kolektif kepada Konvensyen Rangka Kerja PBB bagi Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris, Konvensyen bagi Diversiti Biologi, Konvensyen PBB untuk Menentang Penggurunan, Matlamat Pembangunan Mampan dan inisiatif-inisiatif relevan yang lain.
Selain itu, para pemimpin yang bersidang bersetuju untuk bekerja secara kolektif bagi menghentikan kehilangan hutan dan degradasi tanah menjelang 2030 serta pada masa yang sama melaksanakan pembangunan mampan serta mempromosikan transformasi luar bandar yang inklusif.
Para pemimpin juga akan mengukuhkan lagi usaha bersama mereka untuk memulihara hutan dan ekosistem darat yang lain dan mempercepatkan pemulihan mereka, memudahkan dasar-dasar pembangunan dan perdagangan domestik dan antarabangsa yang mempromosikan pembangunan mampan serta penggunaan dan pengeluaran komoditi lestari yang memberikan manfaat bersama kepada negara di mana ia tidak memacu degradasi tanah dan penebangan hutan.
Dalam pada itu, para pemimpin akan mengukuhkan lagi usaha bersama dalam mengurangkan kelemahan, membina daya tahan dan meningkatkan mata pencarian luar bandar termasuk melalui memperkasa komuniti, pembangunan pertanian yang mampan, menguntungkan dan mengenal pasti pelbagai nilai hutan serta pada masa yang sama mengenal pasti akan hak orang asli dan juga komuniti setempat selaras dengan perundangan negara yang relevan dan instrumen-instrumen antarabangsa yang bersesuaian.
Para pemimpin turut menyatakan akan mengukuhkan usaha bersama dalam melaksanakan dan jika perlu, menggubal semula program dan dasar pertanian untuk memberi insentif kepada pertanian mampan, mempromosikan sekuriti makanan dan bermanfaat kepada alam sekitar.
Para pemimpin yakin bahawa bersama kita akan berjaya untuk menentang perubahan iklim, menyampaikan pertumbuhan inklusif dan berdaya tahan serta menghentikan kehilangan hutan dan degradasi tanah.