Oleh Fadhil Yunus
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan hadir menyaksikan Kejohanan Badminton Piala CHSK peringkat akhir antara Flying Gravity (Waznah) dan Honey Carsmart di Gelanggang Badminton CHSK di Kiudang, hari ini.
Pada kejohanan tersebut, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan rakan sepasukannya Flying Gravity (Waznah) dinobatkan sebagai juara selepas pasangan Wiwi Rahman dan Zamiah Sapar melakarkan kemenangan 21-10, 21-4 ke atas Nur Azarinah binti Abdullah Mambang dan Roslina binti Abdul Rahman dalam kategori beregu veteran wanita.
Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Terdahulu, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan rakannya, Dessen Chung Min Tin daripada pasukan Flying Gravity (Waznah) menewaskan pasangan Honey Carmart, Eqman Danish bin Duming dan Muhammad Hamizan bin Maysufrizal dengan kemenangan berturut-turut 22-20, 21-8 dalam kategori beregu lelaki bawah 14 tahun.
Dengan kemenangan yang sudah diraih, keputusan berakhir 8-3 memihak kepada Flying Gravity (Waznah) selepas kemenangan Samantha Lee Harn Rou 21-6, 21-10 ke atas Nur Najmah binti Matshah dari Honey Carsmart dalam kategori terbuka perseorangan wanita.
Sementara itu, RHTS meraih tempat ketiga selepas menewaskan BRKP OCT 7-6 dengan kemenangan menerusi pasangan Hajah Nur’alimah binti Abdullah Juna dan Noraini binti Haji Bagol (21-8, 21-18) dalam kategori beregu veteran wanita.
Terdahulu, keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Belia dan Sukan), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.
Penyampaian hadiah kepada semua pemenang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.