KUALA LUMPUR, 15 JAN – Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa syarikat perkapalan Malaysia bersedia menghadapi gangguan berpanjangan yang berlaku di Laut Merah, berikutan krisis keselamatan semakin buruk di rantau itu sehingga memaksa syarikat kapal melencongkan kapal masing-masing ke laluan yang lebih panjang.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai menggesa syarikat perkapalan termasuk pengeksport dan pengimport supaya meneliti strategi perniagaan masing-masing untuk melindungi rantaian bekalan, meminimumkan kelewatan bagi memenuhi permintaan pelanggan di samping mengurangkan impak situasi di Laut Merah.
Beliau berkata memandangkan kadar tambang turun naik dan tempoh transit yang tidak menentu, FMM mencadangkan agar syarikat perkapalan menyediakan tempahan kontena dan jadual penghantaran sebaik-baiknya sebulan lebih awal untuk eksport ke pasaran yang terjejas.
“Bagi barangan yang tidak terjejas dengan masa, syarikat dinasihatkan supaya menunggu sehingga beberapa minggu pertama Februari semasa cuti Tahun Baharu Cina kerana kos pengangkutan dijangka lebih rendah dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata FMM menyarankan syarikat perkapalan supaya akur dengan kadar tambang pratempah yang diberikan kepada syarikat perkapalan Malaysia, tanpa pelarasan.
“Sebarang pengumuman mengenai kenaikan baharu kadar tambang atau pengenalan surcaj perlu dimaklumkan secara telus dan dirundingkan secara terus dengan syarikat perkapalan untuk membolehkan pengeksport merancang dan berunding dengan pengimport mereka,” katanya.
Soh berkata selain itu, FMM juga mengesyorkan supaya pengilang mengalihkan pergantungan mereka kepada ASEAN dengan pendekatan mengutamakan negara jiran dan mendapatkan sumber dari dalam rantau ASEAN. – Bernama
