BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, telah menyenaraikan FOINS (Financial.org Blockchain Systems) ke dalam Alert List AMBD bagi bulan Jun 2018.
AMBD dalam kenyataannya mengatakan kemas kini Alert List adalah merangkumi senarai individu, syarikat dan laman web yang tidak diberi kebenaran atau diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kawalan AMBD atau mana-mana aktiviti menimbulkan kecurigaan yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya lagi, senarai tersebut adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh AMBD mengenai kegiatan syarikat berkenaan.
Alert List AMBD yang telah dikemaskinikan boleh didapati melalui laman web AMBD di www.ambd.gov.bn. Senarai syarikat-syarikat dan individu-individu yang dilesenkan oleh AMBD juga boleh didapati di laman web yang sama.
Bagi kepentingan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam AMBD akan terus mengutamakan pelindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam.
AMBD juga akan terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti yang tidak berlesen, orang ramai bolehlah menghubungi AMBD di talian 2380007 atau emel ke fci@ambd.gov.bn.