MONTE CARLO, 11 APRIL – Pemain bukan pilihan dari Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina, mara ke separuh akhir Masters Monte Carlo setelah kemenangan bergaya ke atas Alexei Popyrin hari ini.
Pemain ranking ke-42 dunia itu, yang pernah menjadi naib juara kejohanan tersebut pada tahun 2022 kepada Stefanos Tsitsipas, menewaskan wakil Australia, Popyrin, 6-3, 6-2 dalam saingan suku akhir.
Davidovich Fokina akan berdepan sama ada Carlos Alcaraz atau bintang muda Perancis, Arthur Fils, dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
Dia tampil penuh keyakinan selepas menyingkirkan pilihan kelima dari Britain, Jack Draper, dalam pusingan ke-16, namun terpaksa menunggu sedikit masa sebelum menguasai set pertama.
Popyrin berjaya menyelamatkan tiga mata break dalam permainan keenam yang panjang untuk menyamakan kedudukan 3-3, tetapi Davidovich Fokina akhirnya memperoleh break dua permainan kemudian dan terus menamatkan set pertama dengan servis yang meyakinkan.
Momentum kemenangan diteruskan apabila Davidovich Fokina memenangi tujuh permainan berturut-turut untuk mendahului 4-0 dalam set kedua, sebelum memastikan kemenangan pada mata perlawanan kedua apabila Popyrin melakukan pukulan backhand yang terlalu panjang.
Turut beraksi dalam suku akhir hari ini ialah Grigor Dimitrov yang menentang Alex de Minaur, manakala juara tiga kali Stefanos Tsitsipas bertemu Lorenzo Musetti. – AFP
