Sunday, April 27, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fokus dalam telefilem Sempena Hari Raya

    Oleh Adiiwira

    Genap sudah sebulan kita menyambut bulan Ramadan, kini kita didatangi dengan bulan Syawal sebagai bulan kemenangan bagi umat Islam yang sudah melaksanakan kewajipan berpuasa.

    Ketika bulan Syawal ini kita akan berjumpa sanak saudara untuk saling bermaaf-maafan dan menyambut Hari Raya dengan penuh kegembiraan.

    Namun, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun yang sudah. Hal ini disebabkan keadaan dunia global yang masih di bawah ancaman COVID-19, justeru banyak negara mengeluarkan garis panduan bagi sambutan tahun ini seperti melakukan langkah-langkah penjarakan sosial dan mengehadkan tetamu yang hadir hanya bagi keluarga yang terdekat sahaja.

    Walaupun sambutan Hari Raya tahun ini tidak semeriah tahun yang sudah kerana tradisi kunjung-mengunjungi ditegah bagi membendung penularan virus, tidak bererti kita menyuramkan suasana Hari Raya.

    Pelbagai perkara yang kita dapat lakukan untuk memeriahkan suasana seperti memasang lagu-lagu Hari Raya, memeriahkan suasana rumah dengan kerdipan lampu cucul berwarna-warni atau menonton rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen.

    Telefilem Aku Benci K-Pop menampilkan Sherry Al-Hadad yang digandingkan bersama dengan Han Byul dan Syafiq Farhain yang disiarkan pada Hari Raya kedua. – Agensi
    Bujang Beraya Bersama merupakan rancangan khas sempena Hari Raya yang disiarkan pada raya kedua di saluran TV Okey. – Agensi
    Ketot Nak Raya Kat Kampung mengisahkan tentang Ketot, seorang kanak-kanak yang sentiasa merasakan dirinya matang daripada usianya. – Agensi

    Drama bertemakan Hari Raya ini memang tidak asing lagi untuk dijadikan sebagai salah satu rancangan khas bagi tontonan orang ramai ketika perayaan bulan Syawal. Semestinya setiap drama akan menggunakan Hari Raya sebagai tema penceritaannya namun berbeza dari segi fokus jalan penceritaannya.

    Bagi penulis, kebanyakan drama Melayu bertemakan Hari Raya ini ada tiga fokus utama, humor (kelucuan), kesedihan dan percintaan. Namun, ada juga drama yang memasukkan tiga fokus tersebut tapi setentunya penghujung drama akan ditonjolkan pelakon-pelakon saling bermaaf-maafan dan menyesali kesilapan yang dilakukan.

    Dalam ruangan minggu ini, penulis memilih empat buah telefilem yang bertemakan Hari Raya dan penulis akan membahagikannya kepada dua kumpulan yang menumpukan dua fokus iaitu percintaan dan humor (kelucuan).

    Dalam kumpulan percintaan, penulis memilih telefilem Aku Benci K-pop yang disiarkan di rangkaian Astro Ria dan Romeo Gagap yang disiarkan dirangkaian TV1.

    Bagi kumpulan humor pula, penulis memilih telefilem Ketot Nak Raya Kat Kampung yang disiarkan di TV2 dan Bujang Beraya Bersama bagi rancangan TV Okey.

    Menyentuh pada kumpulan pertama, telefilem yang memfokuskan tentang percintaan. Aku Benci K-pop merupakan telefilem lakonan Sherry Al-Hadad yang digandingkan bersama dengan Han Byul artis dari Korea Selatan dan Syafiq Farhain yang disiarkan pada Hari Raya kedua. Telefilem ini diarahkan oleh Hadis Omar dan diterbitkan oleh U2 Media Sdn Bhd.

    Telefilem ini mengisahkan tentang Melati ditugaskan untuk menjaga wakil syarikat tempat dia bekerja dari negara Korea iaitu Hyun Jun. Melati tidak mahu pada mulanya tetapi kerana sayangkan rakan sekerjanya Yusuf, dia turuti permintaan Yusuf tetapi Melati cuba untuk jadikan pengalaman Hyun di Malaysia satu pengalaman yang amat ngeri kerana Melati benci K-Pop! Di dalam telefilem jni, penulis berpendapat adanya penerapan kata orang-orang tua kita agar tidak terlalu membenci seseorang dikhuatiri akan mencintainya pula.

    Sebagaimana digambarkan pada watak Melati yang membenci K-Pop dan perlahan-lahan mula menyukai kepada Hyun. Memang kata orang tua itu hanyalah sebagai kata-kata sahaja, bukanlah sebagai sumpah keramat dan malah ia hanya sebagai teguran kepada kita agar mengelakkan membenci seseorang.

    Hal ini kerana kita tidak mengetahui apa yang akan terjadi pada kita pada masa akan datang seperti kita berdepan dengan masalah, kita tidak tahu siapa akan muncul membantu kita, boleh saja yang kita benci selama ini pula membantu kita.

    Berbeza pula dalam telefilem Romeo Gagap dalam menampilkan unsur percintaan dalam penceritaannya. Telefilem ini mengisahkan Nuar, seorang pemuda gagap yang bekerja sebagai pembantu kedai biskut milik Mak Andak. Nuar suka pada anak gadis Mak Andak, Ina. Ibu Ina, Mak Andak melarang Ina berkawan rapat dengan Nuar kerana Nuar seorang pemalas.

    Tambahan pula Mak Andak sudah memilih Badrol, seorang pengurus hotel untuk dijadikan sebagai calon suami kepada Ina. Disebabkan itu, Mak Andak memberikan tugasan membuat biskut Viral Datin Rozi dan siapa yang berjaya akan dapat berkahwin dengan Ina.

    Daripada sinopsis berkenaan, telefilem ini watak utama lebih digambarkan sudah menyukai watak utama wanita dari mulanya. Tidak seperti di dalam telefilem sebelumnya yang bermula perasaan sifar hingga wujud sendirinya.

    Bagi penulis, kedua-dua buah telefilem berkenaan masih diibaratkan masih berada di dalam kepompong. Hal ini disebabkan fokus percintaan itu tidak dapat ditinggalkan dalam kisah drama atau telefilem Melayu meskipun bertemakan perayaan seperti Hari Raya. Namun, sesuatu yang menarik di sini, kedua-duanya memasukan unsur humor agar tidak terlalu mendatar dalam penceritaannya.

    Menyentuh pula dalam kumpulan humor, penulis memilih kedua-dua telefilem yang menceritakan tentang bagaimana watak-watak dalam setiap telefilem cuba untuk balik kampung ketika Aidilfitri. Ketot Nak Raya Kat Kampung mengisahkan tentang Ketot, seorang kanak-kanak yang sentiasa merasakan dirinya matang daripada usianya.

    Dia cuba membantu kedua orang tuanya pada setiap hari raya sehingga merasakan hari rayanya tidak bermakna tanpa keluarga tercinta. Pada Raya kali ini, Ketot berhajat ingin beraya di Kampung halaman kerana hampir setiap tahun menyambut di Kuala Lumpur. Dengan kenakalan Ketot dan dibantu adik beradiknya merancang untuk beraya di kampung.

    Menurut penulis, dalam telefilem ini sememangnya ada unsur humor yang diterapkan melalui kenakalan watak Ketot dan lagi pula menggunakan watak kanak-kanak kebiasaannya unsur humor itu lebih terserlah secara semula jadi dan bersahaja.

    Hal ini kerana pelakon yang terdiri daripada kanak-kanak ini lebih tidak nampak dibuat-buat kelucuan itu daripada pelakon yang sudah dewasa. Lebih-lebih dalam telefilem ini sendiri, penulis telefilem ini menggambarkan Ketot seorang kanak-kanak yang bersikap seperti orang yang sudah dewasa daripada usianya.

    Dalam telefilem Bujang Beraya Bersama pula, unsur humor itu lebih ditonjolkan pada watak-watak dewasa. mengisahkan sekumpulan budak bujang yang menetap bersama berusaha untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemeriahan walaupun tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman kerana terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Justeru, daripada sinopsis tersebut, setentunya banyak peristiwa yang terjadi ketika sekumpulan budak bujang cuba mencari jalan untuk balik beraya di Kampung. Apa yang menarik bagi penulis terhadap telefilem ini, penulis telefilem ini peka dengan keadaan sekeliling dan menjadikannya sebagai jalan penceritaannya.

    Dalam masa yang sama, penulis telefilem ini juga menjadi peristiwa orang ramai yang berusaha untuk dapat balik kampung pada tahun dengan pelbagai cara seperti mencari jalan ‘tikus’ agar tidak diketahui oleh pihak berkuasa.

    Oleh itu, menurut penulis telefilem ini mengambil peristiwa yang benar-benar berlaku dan menjadikannya satu unsur humor dalam penceritaannya.

    Hal ini berkemungkinan, penulis telefilem ini sengaja menjadikannya lebih bersifat humor kerana mahukan suasana kegembiraan dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini hanya terhad di rumah masing-masing agar dapat membendung penularannya.

    Secara kesimpulannya, apa yang disampaikan oleh penulis hanyalah pandangan penulis sahaja dan setiap penonton ada interpretasi tersendiri tentang telefilem berkenaan.

    Namun, setiap penutup drama atau telefilem Melayu yang tidak lari disudahi penceritaannya ke semua watak saling bermaaf-maafan sempena Hari Raya.

    Tidak kisah telefilem Melayu ini memfokuskan kepada tiga fokus seperti dijelaskan, telefilem ini memang seronok untuk ditonton bersama-sama keluarga sebagai hiburan bagi Raya tahun ini yang begitu terhad pergerakannya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda