MANCHESTER, 16 MEI – Ruben Amorim percaya persiapan terbaik untuk Manchester United menjelang perlawanan akhir Liga Europa adalah untuk mengejutkan Chelsea dalam pertembungan Liga Perdana esok dan bukannya merehatkan pemain utama.
United menduduki tempat ke-16 dalam liga, tipis dari zon penyingkiran, selepas musim terburuk Liga Perdana mereka dengan jarak yang agak jauh.
Amorim hanya memenangi enam daripada 25 perlawanan liga sejak mengambil alih tugas pada November.
Bagaimanapun, Liga Europa menawarkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan serta trofi utama Eropah.
“Kami tidak boleh menghabiskan lapan hari, sembilan hari tanpa perlawanan. Itu adalah buruk untuk perlawanan akhir,” kata Amorim.
“Cara terbaik adalah untuk menghadapinya adalah seperti mana yang harus kami hadapi perlawanan iaitu untuk menang. Kami perlu beraksi, kami perlu memenangi mata dalam Liga Perdana dan itulah yang sepatutnya.
“Pemain perlu memahami bahawa jika awda bermain atau tidak bermain menentang Chelsea, ia tidak bermakna untuk perlawanan akhir. Itu penting.
“Saya hanya siapkan pasukan untuk menghadapi Chelsea. Itulah tumpuan saya dan kami mahu menang dan beraksi.”
Pemain pertahanan Diogo Dalot, Matthijs de Ligt dan Leny Yoro dijangka tidak diturukan ke London dengan penyertaan mereka dalam perlawanan akhir nanti turut diragui.
Chelsea pula mesti menang di Stamford Bridge untuk mengekalkan harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara menerusi penamat lima teratas dalam Liga Perdana. – AFP


