ASUS juga telah melancarkan ZenFone Ares yang mengetengahkan ciri-ciri khas bagi pengalaman realiti bertambah (AR) dan realiti maya (VR) dengan spesifikasi yang serupa dengan ZenFOne AR tahun lalu.
Bagaimanapun, Asus ZenFone Ares kini didatangkan dengan penyahkod audio SonicMaster 3.0 Hi-Res Audio 384 kHz dan menyokong fon kepala DTS dengan sokongan rangkaian 7.1.
Bagi spesifikasinya, peranti dual SIM (Nano) ini menggunakan Android Nougat dengan antara muka ZenUI dan menonjolkan paparan Super AMOLED QHD (1440×2560 piksel) 5.7 inci dengan nisbah bidang standard 16:9. Panel paparannya mempunyai teknologi Tru2life untuk membolehkan pengalaman VR dan didatangkan dengan lapisan kalis minyak.
Ia dikuasakan SoC Qualcomm Snapdragon 821 dengan RAM 8GB dan storan UFS 2.0 128GB yang boleh ditambah menerusi kad mikroSD (sehingga 2TB).
Untuk mengambil gambar, peranti ini mempunyai sensor kamera 23MP di belakang dengan teknologi PixelMaster 3.0 beresolusi tinggi Asus dan apertur f/2.0.
Kameranya juga mampu merakam kesan pergerakan dan mengesan kedalaman bagi membolehkan kesan AR. Di depan pula terdapat sensor 8MP dengan apertur f/2.0.
Pilihan sambungan termasuk 4G LTE, Wi-Fi 802.11ac, Bluetooth v4.2, GPS/ A-GPS, USB Type-C dan jek audio 3.5mm. Selain itu, ia juga mempunyai sensor cap jari yang terletak pada punat utama. Peranti ini disokong dengan bateri 3300mAh yang menyokong Qualcomm Quick Charge 3.0.