Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Penubuhan Syarikat Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) bertujuan untuk mencapai keberkesanan dari segi penjimatan kos dalam penyediaan infrastruktur dan bagi membolehkan infrastruktur untuk disediakan dengan lebih meluas di negara ini.
Pada masa yang sama, langkah ini juga membukakan platform bagi penyedia-penyedia perkhidmatan untuk lebih berdaya-saing dan fokus dalam strategi perniagaan dan perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.
Dalam hal ini, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof menambah, dengan adanya persaingan, ia dihasratkan akan menggalakkan lagi inovasi dan kreativiti dalam kalangan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan memberikan lebih banyak pilihan kepada para pengguna seiring dengan kepesatan teknologi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menekankan perkara ini dalam usul menjunjung kasih semasa hari kedua Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Beliau menyatakan, bagi memanfaatkan lagi pencapaian dalam sektor telekomunikasi berkenaan, inisiatif-inisiatif dalam meningkatkan sumbangan sektor telekomunikasi ke arah pembangunan negara juga sedang giat dijalankan dengan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dan swasta iaitu melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan pihak Darussalam Assets (DA) selaku peneraju utama dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) selaku pengawal selia dan pemudah cara dari segi dasar, regulatory, perlesenan dan penjagaan kepentingan orang ramai dalam menikmati perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti dan mempunyai pelbagai pilihan, sekali gus bagi memudah cara perniagaan dan aktiviti-aktiviti perekonomian dan pelaburan.
Menyentuh mengenai peluang pekerjaan dan pengangguran di negara ini, Yang Berhormat Dato berkata, melalui pendekatan Whole of Nation dan dalam mendukung jua dasar strategi Manpower Planning and Employment Council (MPEC), kementeriannya telah dan akan meneruskan perlaksanaan beberapa inisiatif bagi meningkatkan peluang pekerjaan terutama sekali untuk anak-anak tempatan.
Antara inisiatif tersebut ialah program AITI Apprenticeship yang telah dilaksanakan tahun ini bagi membantu meningkatkan kemahiran serta tahap kebolehpasaran dalam mencari peluang pekerjaan mahupun dalam menerokai bidang perniagaan.
