Sunday, November 17, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fokus tanaman tidak bermusim untuk pasaran eksport

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 24 Feb – Pada masa ini, Jabatan Pertanian, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Perancangan Berstrategi memfokuskan kepada tanam-tanaman yang cepat dan sasaran mereka melalui perancangan tersebut adalah tanaman yang cepat menghasilkan buahnya.

    Sehubungan itu, Jabatan Pertanian memfokuskan kepada tanaman tidak bermusim yang boleh mendatangkan hasil dalam setahun atau dua tahun dan sasaran pengeluaran buah-buahan tersebut adalah untuk pasaran eksport sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus ke negara-negara pengimport seperti Singapura, China dan sebagainya.

    “Pada masa ini, KSSUP bukan sahaja menyasarkan industri buah-buahan malahan juga industri sayuran, bunga dan juga industri ternakan untuk dijadikan pasaran eksport.”

    Perkara ini ditekankan oleh Pemangku Ketua Bahagian Industri Tanaman, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Awang Herman bin Haji Abu yang mengetuai semua industri tanaman di Jabatan Pertanian dan sebagai ketua yang memantau projek-projek bahagian tanaman di seluruh negara semasa ditemui pada Majlis Pembukaan Tapak Baru Projek Perintis Ladang Tanaman Buah-buahan Merangking, hari ini.

    Terdahulu itu beliau berkata, penawaran tapak bagi Projek Perintis Ladang Buah-buahan yang diusahakan oleh Syarikat Asia Enterprise (AE) akan turut membukakan peluang kepada peladang-peladang lain yang sudah sedia ada sebagai Contract Farm iaitu menanam apa yang diperlukan oleh syarikat berkenaan untuk memperluaskan pasaran eksport.

    Awang Herman semasa ditemu bual oleh Media Permata.
    Awang Herman semasa ditemu bual oleh Media Permata.

    Katanya lagi, Projek Perintis Tanaman Buah-buahan di Merangking merupakan projek mega yang sudah dibincangkan awal bersama Syarikat AE melalui permohonan syarikat itu yang ingin memajukan ladang tanaman buah-buahan tidak bermusim.

    Awang Herman menjelaskan, projek perintis yang ditawarkan kepada pengusaha, dari segi tanaman, mestilah produktif iaitu mempunyai produktiviti yang tinggi dan jika buah-buahan, ia perlulah jenis buah-buahan yang tidak bermusim iaitu sentiasa berbuah, manakala itu, dari segi industri sayuran pula ia juga mesti mempunyai produktiviti yang tinggi.

    Perkara lain yang ditekankan kepada syarikat-syarikat yang ingin melabur dalam industri-industri pertanian, tambah beliau, mesti menggunakan teknologi, selain itu, untuk pasaran eksport ia mestilah mapan.

    Menurutnya lagi, pihak kerajaan khususnya KSSUP melalui Jabatan Pertanian akan terus memberikan kerjasama iaitu dilihat dari berbagai-bagai aspek seperti khidmat nasihat dari segi kepakaran, jika memerlukan makmal menganalisis tanah, penyakit tanaman, serangga tanaman dan sebagainya.

    Bagi pasaran eksport, katanya, pihak jabatan akan membantu sedaya upaya untuk membuat pemadanan perniagaan dengan negara luar.

    “Seperti juga yang kami lakukan bersama Syarikat AE sebelum projek dimulakan, pengarah syarikat itu telah menyertai rombongan kami ke Singapura pada bulan November lepas untuk mencari pasaran dan di sana juga telah dilakukan pemadanan perniagaan bersama syarikat-syarikat pengimport dan mereka telah menunjukkan sikap positif dan berminat menerima produk kita,” tambah Awang Herman.

    Selain daripada itu, pihak kerajaan juga akan membantu dari segi perundingan kerajaan dengan kerajaan, sebagai persefahaman antara kerajaan negara pengimport dengan kerajaan Negara Brunei Darussalam, selain akan turut melibatkan beberapa agensi kerajaan yang berkenaan.

    Menyentuh mengenai infrastruktur, beliau menjelaskan, kawasan Merangking sudah terdapat kemudahan seperti jalan raya dan sebagainya, bagaimanapun Jabatan Pertanian akan melihat dari segi kemudahan lain yang diperlukan seperti elektrik, air dan telefon yang amat penting bagi syarikat.

    “Jika tapak belum mempunyai kemudahan, setiap pelabur tempatan atau asing akan membangun kawasan dengan menyediakan infrastruktur dan sebagainya, dan Jabatan Pertanian serta KSSUP akan bekerjasama memikirkan bagaimana prosesnya seperti memberikan tempoh tertentu dan sebagainya,” ujarnya.

    Beliau kemudiannya berkata, KSSUP mengalu-alukan mana-mana peladang tempatan atau pengusaha-pengusaha yang berminat untuk melabur dalam industri pertanian, terutama sekali dalam kalangan belia-belia yang berminat dan mempunyai modal untuk ikut serta dalam mana-mana projek pertanian yang ditawarkan.

    Menurut beliau lagi, peladang yang sudah diberikan tanah untuk dimajukan tetapi gagal melakukannya, Jabatan Pertanian akan melihat beberapa aspek dan proses tertentu akan dilakukan yang biasanya memberikan khidmat nasihat.

    Bagaimanapun, jika ladang tidak diusahakan dan telah beberapa kali dinasihatkan maka Jabatan Pertanian juga mempunyai proses-proses tertentu untuk menarik balik tapak-tapak tanah yang diberikan dan akan ditawarkan kepada orang lain yang lebih berminat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda