Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fokus tangani jenayah rentas sempadan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan kali ke-21 telah bermula dengan sidang plenari yang berlangsung secara maya hari ini.

    Sidang plenari tersebut telah dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku ketua SOMTC Negara Brunei Darussalam dan telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab bagi isu jenayah rentas sempadan.

    Semasa sidang plenari tersebut, Dato Paduka Haji Sufian menekankan akan pentingnya bagi negara-negara ASEAN untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dalam menangani trend-trend jenayah rentas sempadan di era pasca COVID-19 nanti.

    Ke arah itu, adalah penting bagi SOMTC untuk mengambil iktibar daripada pengajaran yang diraih semasa musim pandemik COVID-19 dan menerapkannya ke dalam segala perancangan yang akan dibuat di masa-masa yang akan datang.

    Mesyuarat kali ini akan memfokuskan kepada usaha-usaha serantau untuk menangani 10 bidang jenayah rentas sempadan di bawah SOMTC iaitu pengganasan, pemerdagangan orang, jenayah siber, pengedaran dadah haram, pembersihan wang haram, penyeludupan senjata, jenayah lanun, jenayah ekonomi antarabangsa, penyeludupan manusia, dan pemerdagangan hidupan liar dan perdagangan kayu balak serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjaga keselamatan dan keharmonian rakyat dan penduduk negara-negara ASEAN daripada ancaman jenayah-jenayah berkenaan.

    Mesyuarat SOMTC kali ke-21 dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dengannya akan diadakan secara maya selama tiga hari hingga 29 Julai di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. Mesyuarat kali ini juga akan disertai secara maya oleh 10 rakan dialog ASEAN iaitu Australia, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Persekutuan Rusia, Amerika Syarikat dan +3.

    Delagasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat SOMTC kali ke-21 dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dengannya diketuai Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-undang) di JPM, Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib.

    Turut hadir ialah Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dato Paduka Awang Zalani bin Haji Ismail dan pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

    Dato Paduka Haji Sufian semasa menghadiri sidang plenari tersebut secara maya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda