Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Folikel muda bantu tingkatkan kualiti telur wanita berusia

    SINGAPURA – Telur wanita mengalami penuaan lebih cepat berbanding bahagian lain tubuhnya, yang mengurangkan peluangnya untuk melahirkan anak apabila usia meningkat.

    Namun, penyelidik dari Singapura telah membuat penemuan penting dalam usaha mengembalikan keremajaan telur wanita, membuka peluang kejayaan yang lebih besar dalam teknologi pembiakan dibantu seperti persenyawaan in-vitro (IVF).

    Walaupun kajian itu masih terhad kepada ujian dalam makmal, penemuan tersebut memberi harapan baharu kepada wanita yang lebih berusia dan ingin menangguhkan untuk mempunyai anak bagi memberi tumpuan kepada keutamaan lain dalam hidup, termasuk kerjaya.

    Penemuan itu berkisar tentang bagaimana persekitaran folikel memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kualiti oosit, atau sel telur yang belum matang.

    Para saintis dari Institut Mekanobiologi (MBI) di Universiti Kebangsaan Singapura dan NUS Bia-Echo Asia Centre for Reproductive Longevity and Equality (ACRLE) mendapati bahawa sel telur muda yang diletakkan dalam folikel yang berusia akan menua, manakala sebaliknya, folikel muda boleh meremajakan sel telur yang lebih tua.

    Profesor Rong Li (berdiri) dan Dr Wang Haiyang mengetuai pasukan dari Institut Mekanobiologi di ACRLE. – The Straits Times
    Usia median ibu yang melahirkan anak pertama juga meningkat sepanjang tahun. – Agensi
    Gambar Freepik

    Mekanobiologi adalah bidang pelbagai disiplin yang mengkaji bagaimana sel dan tisu merasakan dan bertindak balas terhadap isyarat mekanikal atau kuasa yang mengawal pelbagai aktiviti biologi, seperti perpindahan sel, percambahan sel dan tingkah laku molekul tunggal.

    Folikel adalah kantung kecil berisi cecair dalam ovari yang mengandungi oosit. Beberapa folikel mula berkembang setiap kitaran haid, tetapi biasanya hanya satu sel telur yang matang sepenuhnya dan dilepaskan semasa ovulasi.

    “Kami tertarik dengan proses penuaan dalam sel manusia, terutamanya penuaan oosit kerana ia menua lebih cepat berbanding sel lain dalam tubuh manusia,” kata Pengarah MBI, Profesor Rong Li kepada The Straits Times.

    “Kami ingin mengetahui jika ia mungkin untuk memperlahankan atau membalikkan proses penuaan ini.”

    Kualiti oosit merosot seiring usia, bermula sekitar umur 32 tahun dan semakin cepat selepas umur 37 tahun, yang menyebabkan kadar persenyawaan yang lebih rendah serta peningkatan risiko keguguran atau gangguan genetik pada embrio.

    Pasukan penyelidik mendapati bahawa apabila oosit muda diperkenalkan ke dalam folikel berusia, ia kehilangan kualitinya dengan cepat kerana ‘persekitaran folikel yang tua tidak membekalkan tenaga atau nutrien yang diperlukan,” kata penyelidik kanan di MBI, Dr Wang Haiyang.

    “Oosit muda mula menunjukkan tanda-tanda penuaan, termasuk peningkatan kerosakan DNA dan faktor-faktor lain yang dikaitkan dengan kematian sel. Pada saat ini, saya mula tertanya-tanya jika sebaliknya boleh berlaku,” kata Dr Wang.

    Pasukan penyelidik kemudian mengkaji bagaimana oosit berusia berkembang dalam persekitaran folikel muda.

    “Kami mendapati bahawa sel-sel granulosa muda membantu memulihkan oosit yang berusia,” kata Profesor Li, merujuk kepada sel yang membentuk folikel ovari dan membekalkan oosit dengan nutrien penting semasa ia berkembang dan matang.

    “Terdapat peningkatan dalam fungsi dan kesihatan mitokondria oosit (kuasa sel), tenaga dan metabolisme bersel,” tambahnya.

    Namun, kajian itu mendapati penuaan oosit hanya diperlahankan – tetapi tidak sepenuhnya dihentikan dan pasukan akan menyiasat lebih lanjut mengapa hal ini berlaku, kata Prof Li.

    Pendekatan baharu itu dan penemuan tentang kesan persekitaran folikel terhadap oosit telah diterbitkan dalam jurnal Nature Aging pada 9 September lalu.

    Langkah seterusnya ialah mengubah penemuan itu menjadi teknologi untuk meningkatkan kejayaan bantuan pembiakan, termasuk IVF, kata Prof Li.

    “Penemuan daripada kajian itu menyediakan konsep bukti dan asas untuk pembangunan strategi berasaskan sel yang tidak invasif bagi meningkatkan kualiti telur wanita lebih berusia atau wanita yang kemampuan pembiakannya terjejas oleh keadaan kesihatan lain.

    “Sebagai analogi, ia seperti menghantar oosit yang menua ke ‘spa peremajaan’ dan setelah oosit tersebut sebahagiannya dipulihkan, ia akan disenyawakan dalam makmal dan kemudian embrio ditanam kembali ke dalam rahim melalui IVF. Dengan cara ini, saya percaya kadar kejayaannya akan tinggi,” tambahnya.

    Semakin ramai pasangan di Singapura yang mendapatkan bantuan teknologi pembiakan dengan beberapa pakar mengatakan trend pasangan berkahwin pada usia yang lebih lewat adalah salah satu sebab mengapa lebih ramai wanita memerlukan bantuan untuk hamil, kerana kesuburan menurun seiring usia.

    Wanita berkahwin buat kali pertama pada usia median 29.3 tahun pada 2022, meningkat daripada 28 tahun pada 2012.

    Usia median ibu yang melahirkan anak pertama juga meningkat sepanjang tahun, daripada 30.8 tahun pada 2019 kepada 31.6 tahun pada 2023.

    Bagi ibu yang jauh lebih berusia, terdapat 19 wanita berusia sekurang-kurangnya 50 tahun yang melahirkan di Singapura pada 2023 – tiga daripadanya berusia sekurang-kurangnya 55 tahun.

    Timbalan pengarah ACRLE, Dr Huang Zhongwei berkata mengenai penemuan itu, “Kemajuan ini sangat penting kerana ia memberi kuasa kepada wanita untuk mengekalkan kesihatan reproduktif yang optimum, tanpa mengira sama ada mereka memilih untuk hamil pada usia yang lebih lewat.

    “Kesan daripada kajian ini dan kerja yang kami lakukan di ACRLE boleh mentakrifkan semula strategi pemeliharaan kesuburan, memberikan wanita lebih kawalan terhadap garis masa pembiakan mereka sambil memastikan hasil yang lebih sihat untuk generasi akan datang”. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda