Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fonseca juara Terbuka Argentina

    BUENOS AIRES, 17 FEB – Remaja Brazil, Joao Fonseca, menjadi juara ke-10 termuda dalam sejarah Jelajah ATP selepas menewaskan pemain harapan tuan rumah Francisco Cerundolo di final Terbuka Argentina kelmarin.

    Pemain berusia 18 tahun, yang kini menduduki tempat ke-99 di dunia dan bermain dalam final jelajah pertamanya, menang 6-4, 7-6 (7/1) menentang lawannya yang berada di kedudukan ke-28.

    Fonseca dua kali gagal menyempurnakan servis untuk menang tetapi dia bangkit semula dengan meraih kemenangan dalam tie-break dalam suasana yang penuh emosi di Buenos Aires.

    Juara ATP NextGen 2024 itu merupakan pemain lelaki termuda dari Amerika Selatan yang memenangi gelaran Jelajah dan kemenangannya itu juga akan membawanya naik ke ranking ke-68 dunia Isnin ini.

    “Minggu yang sukar dipercayai. Walaupun di Argentina, ada beberapa orang Brazil yang menyokong saya,” kata Fonseca di gelanggang.

    Joao Fonseca meraikan kejayaannya bersama trofi selepas menewaskan Francisco Cerundolo dari Argentina dalam final perseorangan Terbuka Argentina ATP 250 di Buenos Aires pada 16 Februari. – AFP

    “Ia sungguh luar biasa. Setiap orang Brazil, semua orang dari negara mereka mengingin-kan sokongan dari negara sendiri. Bagi saya, detik yang saya lalui ini benar-benar sukar dipercayai.”

    Dia menambah, “Sudah tentu saya mahu menjadi nombor satu, sudah tentu saya mahu memenangi Grand Slam, tetapi impian saya adalah hanya untuk bermain
    tenis dan saya sedang menikmatinya.”

    Cerundolo, yang mencari gelaran keempat dalam kerjayanya, telah ditewaskan dalam permainan ketujuh set pertama dan bertahan apabila Fonseca melakukan servis pada kedudukan 5-4 dan 6-5 di set kedua.

    Namun, pemain Brazil itu dengan mengagumkan mengekalkan ketenangannya dalam tie-break dan meraikan kemenangannya dengan menjatuhkan diri penuh gembira di permukaan tanah liat yang berdebu.

    Fonseca mencapai pusingan final pertamanya dengan cara yang sukar – pada suku akhir Jumaat, dia menyelamatkan dua mata penamat untuk menewaskan Mariano Navone dalam perlawanan yang berlangsung hampir tiga jam.

    Secara keseluruhan, dia berjaya menumpaskan empat pemain Argentina dalam perjalanan menjulang trofi tersebut.

    Dia juga sudah mengumumkan penampilannya pada acara besar tersebut pada Januari apabila berjaya melalui kelayakan di Terbuka Australia dan menewaskan pemain 10 teratas, Andrey Rublev, pada pusingan pertama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda