RIO DE JANEIRO, 19 FEB – Joao Fonseca mengecewakan penyokong tempatan di Terbuka Rio selepas tewas di pusingan pertama kelmarin, hanya dua hari selepas memenangi gelaran ATP pertamanya.
Fonseca tewas 6-1, 7-6 (4) kepada pemain Perancis yang berada di ranking ke-60 dunia, Alexandre Muller, setelah melakukan 34 kesilapan sendiri dan kelihatan letih sepanjang perlawanan.
Pemain berusia 18 tahun dari Brazil itu meraih gelaran pertama dalam kariernya di peringkat elit selepas kemenangan dalam perlawanan akhir Terbuka Argentina pada Ahad lalu.
Muller akan berdepan pemain Argentina, Tomas Martin Etcheverry, di pusingan seterusnya.
“Ia satu perlawanan yang sukar menentang pemain yang hebat dan mungkin juga 5,000 penyokong, tetapi saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini,” kata Muller.
“Saya berasa tenang sepanjang separuh perlawanan. Saya tidak mengambil peluang untuk melakukan break pada set kedua, dan dia semakin bermain dengan baik. Saya beraksi cemerlang dalam tiebreak untuk menamatkan perlawanan.”
Pada hujung minggu lalu, Fonseca menjadi pemain lelaki pertama yang lahir pada 2006 atau selepasnya memenangi gelaran perseorangan ATP di peringkat tertinggi, juara ke-10 termuda dalam sejarah Jelajah ATP dan pemain Amerika Selatan termuda yang memenangi gelaran dalam era Jelajah ATP (sejak 1990).
Tahun lalu, bintang muda itu mara ke suku akhir kejohanan ATP 500 di Rio dan menamatkan tahun 2024 dengan menjuarai Next Gen ATP Finals pada Disember.
Selepas kemenangannya di Buenos Aires, dia naik 31 anak tangga ke ranking ke-68 dunia minggu ini. – AP
