Sunday, March 30, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fonterra rancang kurangkan kos AS$598 juta

    WELLINGTON, 1 SEPT – Syarikat gergasi pertanian New Zealand, Fonterra berkata hari ini bahawa ia merancang untuk mengurangkan kos sekitar AS$598 juta dalam tempoh tujuh tahun akan datang berikutan penurunan harga tenusu global.

    Ketua Eksekutif, Miles Hurrell membayangkan pembuangan pekerjaan pada masa depan, mengatakan ‘fokus terhadap kecekapan akan memberi implikasi kepada bilangan kakitangan.’

    Tetapi dia tidak memberikan butiran lanjut tentang berapa ramai daripada 20,000 tenaga kerja Fonterra yang mungkin akan dikurangkan.

    Dengan kira-kira 9,000 pemegang saham petani, Fonterra dalah salah satu pengeksport tenusu terbesar di dunia, menghasilkan 16 bilion liter susu setahun, mengeksport ke lebih 140 negara.

    Tenusu merupakan komoditi eksport terbesar New Zealand tahun lalu dengan susu tepung, mentega dan keju menyumbang 28 peratus daripada jumlah eksport, bernilai AS$12.3 bilion, menurut Stats NZ.

    Bagaimanapun, harga tenusu jatuh mendadak bulan lalu, diterajui oleh penurunan 10.9 peratus dalam kos susu tepung keseluruhan.

    Fonterra telah dua kali mengurangkan ramalannya untuk harga susu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, meningkatkan tekanan ke atas petani, di mana Hurrell berkata ‘ia menjadikan prospek tahun ini lebih mencabar.’

    Bos Fonterra itu berkata pengurangan permintaan untuk susu tepung keseluruhan yang diimport dari China, salah satu daripada tiga pasaran serantau pengeluar tenusu itu, telah menjadi pendorong utama kejatuhan harga.

    “Pertumbuhan bekalan susu domestik yang kukuh di China telah didorong oleh harga susu mentah yang tinggi sejak beberapa tahun lalu,” kata Hurrell. – AFP

    Kilang tenusu Hautapu Fonterra yang terletak berhampiran Cambridge di wilayah Waikato, New Zealand. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda