Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Darussalam Enterprise (DARe) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) akan membantu syarikat makanan dan minuman (F&B) tempatan menambah baik produk mereka dengan memanfaatkan Pusat Penyelidikan Pertanian dan Teknologi (CrAFT) UTB.
Kerjasama antara DARe dan UTB itu akan menyaksikan pelancaran Food Development and Innovation for Enterprises (FOODIE), satu inisiatif yang membantu perniagaan menambah baik produk mereka dengan menangani isu yang memerlukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), seperti lanjutan jangka hayat, pembungkusan bahan alternatif, penggunaan pengawet semula jadi, dan penilaian faedah pemakanan dalam produk makanan dan minuman.
Sehubungan itu, DARe dan UTB CrAFT telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk merasmikan kerjasama itu hari ini, di Auditorium Utama Bangunan Reka Bentuk & Teknologi (D&T), Anggerek Desa.
Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan pencapaian tersebut ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan DARe, Daniel Leong menyatakan bahawa FOODIE direka bentuk selepas berunding dengan banyak perniagaan, yang telah menyatakan cabaran besar dalam pengembangan adalah kekurangan pengetahuan teknikal dalam penyelidikan dan pembangunan produk, serta kos tinggi yang berkaitan dengan pembelian peralatan dan bahan makmal untuk aktiviti-aktiviti R&D.




“Dengan kemudahan dan kepakaran luas yang ditawarkan oleh CrAFT UTB, inisiatif ini akan membantu dalam menghubungkan keperluan industri dengan keupayaan sumber yang disediakan oleh institut-institut pengajian tinggi (IPT) dan menyediakan penyelesaian teknikal kepada perusahaan makanan dalam R&D produk,” jelasnya.
Pengarah CrAFT, Dr Syazana binti Abdullah Lim pula berkata, “Berbekalkan kepakaran dan kemudahan di UTB, adalah dijangkakan kolaborasi ini akan membawa kepada inovasi, yang dilihat sebagai pendekatan yang berguna untuk pertumbuhan perniagaan.
“Inovasi ini termasuk produk dan perkhidmatan baharu, proses dan cara kreatif untuk berinteraksi dengan pelanggan. Selain itu, R&D yang sengit akan membolehkan perniagaan membuat keputusan yang disokong oleh sains,” tambahnya.
Menurut beliau, mereka berharap agar syarikat-syarikat F&B terbuka dan menerima teknologi baharu seperti Internet of Things (IoT) untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka melalui program R&D tersebut.
MoU itu ditandatangani oleh Daniel Leong sebagai wakil DARe, manakala UTB diwakili oleh Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua.
Dalam projek rintis itu, FOODIE berhasrat untuk membantu syarikat F&B yang ditubuhkan di bawah Program Elevate DARe, program pertumbuhan tiga hingga enam bulan yang direka untuk memupuk, memudahkan dan memacu pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang bermakna melalui bantuan tersuai dan pemantauan tetap dalam tempoh lima tahun.
Para peserta Elevate akan membangunkan pelan hala tuju strategik yang disesuaikan dan disediakan dengan pelbagai sesi bimbingan perniagaan dan tunjuk ajar, rangkaian, nasihat dan penyelesaian pembiayaan serta akses kepada program pembangunan lain.

