Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, foodpanda kini sedang bekerjasama dengan logistik pihak ketiga tempatan, Fastmiles yang akan menambah penunggang motosikal untuk menghantar makanan.
Kerjasama ini tepat pada masanya, memandangkan permintaan perkhidmatan penghantaran makanan yang semakin meningkat di Brunei. Dengan kerjasama berkenaan, foodpanda Brunei akan menghantar makanan menggunakan penunggang asal foodpanda dan tambahan penghantaran motosikal yang lain.
Buat masa ini, foodpanda mempunyai lebih 30 penunggang asas dan tambahan penghantaran motosikal hasil kerjasama berkenaan yang merupakan sebahagian daripada rancangan mereka untuk meningkatkan jumlah penghantaran, mencekapkan masa penghantaran dan meningkatkan kepuasan pelanggan.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P10-3A_031117.jpg)
Kesemua penunggang dilengkapi dengan baju baru berwarna merah jambu, jaket merah jambu, beg merah jambu dan beg haba merah jambu bagi meningkatkan kebolehlihatan di jalan raya dan menjaga kualiti makanan.
Dengan lebih daripada 80 restoran dan promosi yang berterusan, ini berpotensi membawa pilihan ‘Express Delivery’ di seluruh negara pada masa akan datang.
foodpanda Brunei telah bekerjasama dengan lebih daripada 80 restoran seperti The Manhattan FISH MARKET, Court-yard Pizza, Food Messenger, Burger King, Swensen’s dan banyak lagi, sementara terus meningkatkan perkhidmatan untuk memberikan perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian yang paling cekap dan mudah di negara ini.