Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Perkhidmatan penghantaran makanan secara online, foodpanda hari ini telah mengumumkan bahawa mereka kini bekerjasama dengan syarikat logistik pihak ketiga tempatan, Fazt Delivery, yang akan menyediakan perkhidmatan logistik.
Bermula pada bulan September akan datang ini juga, Fazt Delivery akan melakukan siri penghantaran menggunakan motosikal bagi foodpanda Brunei.
Pengumuman tersebut dijelaskan semasa sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat Fazt Delivery, di Kampung Tanjung Bunut, hari ini.
Pengurus Jualan dan Pemasaran foodpanda Brunei, Awang Nabil bin Ibrahim telah menjelaskan bahawa memandangkan terdapatnya peningkatan dalam permintaan bagi penghantaran makanan di Brunei, kerjasama di antara dua belah pihak datang pada masa yang tepat kerana matlamat keseluruhan foodpanda adalah untuk meningkatkan pasukan penghantarannya.
Turut hadir di majlis pengumuman berkenaan ialah Pengarah Pengurusan Fazt Delivery, Regina Chong dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Fazt Delivery, Kerwyn Nicholas Wong.

Dengan perkhidmatan penghantaran mereka yang tersendiri sebagai teras dan Fazt Delivery sebagai sistem sokongan mereka; foodpanda kini menyasarkan untuk meningkatkan masa penghantarannya dan meningkatkan kepuasan pelanggan.
foodpanda, yang kini telah bekerjasama dengan lebih dari pada 80 buah restoran, sentiasa meningkatkan perkhidmatan penghantaran mereka untuk memberikan perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian yang paling cekap dan mudah dengan pengenalan penghantaran berasaskan motosikal ini.
“Lebih-lebih lagi, dengan adanya kerjasama ini, ia boleh berpotensi memberikan pilihan untuk penghantaran ekspres pada masa akan datang di seluruh negara,” jelas Awang Nabil.
Dengan sistem penghantaran yang semakin meningkat ini, orang ramai kini boleh menikmati pelbagai jenis makanan yang akan dihantar dari restoran seperti Swensen’s, Wayback Burgers, Burger King, SCR Express Citis Square dan pelbagai lagi melalui laman sesawang dan aplikasi foodpanda Brunei.