WASHINGTON, 2 OKT – Jutawan Elon Musk, individu terkaya di dunia, dilaporkan semakin hampir menjadi manusia pertama bergelar trilionair, menurut majalah Forbes, kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu mencipta sejarah sebagai individu pertama yang mencatat nilai bersih kekayaan AS$500 bilion, untuk seketika, berikutan saham syarikat kenderaan elektriknya pulih semula selepas tempoh suram ketika beliau menceburi bidang politik, selain keuntungan lain.
Nilai bersih kekayaan ahli perniagaan berusia 54 tahun itu mencecah AS$500.1 bilion pada Rabu sebelum susut kepada AS$499.1 bilion, menurut penjejak ‘Real-Time Billionaires’ Forbes.
Senarai terkini Forbes meletakkan Ketua Pegawai Eksekutif Oracle, Larry Ellison, di tempat kedua dengan nilai bersih kekayaan AS$350.7 bilion, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, berada di tempat ketiga dengan AS$245.8 bilion.
Selepas menamatkan pengajian Universiti Pennsylvania dan tercicir daripada Universiti Stanford, Musk meraih jutaan dolar pertama selepas menjual syarikat perisian penerbitan dalam talian kepada pengeluar komputer Amerika Syarikat, Compaq, pada harga lebih daripada AS$300 juta pada 1999.
Beliau kemudian menubuhkan syarikat baharu yang akhirnya bergabung dengan PayPal. Selepas meninggalkan usaha sama itu, usahawan teknologi kelahiran Afrika Selatan itu menubuhkan syarikat roket angkasa lepas SpaceX pada 2002, serta dilantik sebagai Pengerusi pengeluar kereta elektrik Tesla pada 2004. – AFP


