MONTMELO, 27 Feb – Kereta lumba masih berwarna merah jambu dan pakaian kedua-dua pemandu, Sergio Perez dan Esteban Ocon juga diwarnai dengan warna itu semasa pasukan mendedahkan model terbaru mereka bagi musim 2018, tetapi Force India dijangka mengubah nama mereka menjelang musim baru ini.
“Kemungkinan besar nama pasukan berubah sebelum Grand Prix pertama,” menurut pengarah Force India, Otmar Szafnauer kepada media, yang berkumpul bagi perasmian kereta terbaru yang dipasangkan dengan peranti keselamatan ‘halo’ semasa ujian pra musim di Barcelona.
“Kami masih belum membuat keputusan akhir dan ia juga perlu melalui beberapa proses untuk meluluskannya.”
Pasukan itu telah menamatkan di tempat keempat selama dua musim berturut-turut dalam kejuaraan pembinaan dan pengarah pengurusan Force India berjanji untuk memburu setiap mata musim depan, yang bakal bermula di Melbourne pada 25 Mac nanti.
“Formula Satu mempunyai persekitaran yang sangat sukar dan kompetitif, tetapi kami adalah pasukan yang sudah diiktiraf dengan kemapanan dalam semua lapangan.
“Kami tidak mensia-siakan peluang, tetapi kami pasti kecewa jika kami tidak berjuang bagi merebut mata dalam setiap perlumbaan,” janjianya.
“Saya tidak melihat sebab kenapa kami tidak mampu mengukuhkan kedudukan kami dan meningkatkannya.” – AFP