SAN JOSE, 6 MEI – Pengeluar kenderaan Amerika Syarikat, Ford kelmarin menjangkakan kerugian sebanyak AS$1.5 bilion dalam keuntungan operasi bagi tahun ini, susulan pelaksanaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas kenderaan dan alat ganti import, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Tarif import sebanyak 25 peratus yang dikenakan secara meluas tetapi mempunyai pengecualian dalam perjanjian perdagangan AS dengan Mexico dan Kanada serta tempoh kelonggaran bagi syarikat dengan pengeluaran domestik, mencetuskan ketidaktentuan pasaran, menurut Ford.
Akibatnya, Ford mengambil keputusan untuk menarik balik unjuran kewangan bagi tahun penuh.
Pada masa sama, Ford turut mengeluarkan laporan kewangan suku pertamanya, mencatatkan penurunan hasil sebanyak lima peratus kepada AS$40.7 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bersih Ford juga menjunam kepada AS$471 juta daripada AS$1.3 bilion sebelumnya, sebahagian besarnya dipengaruhi kemerosotan ketara dalam keuntungan operasi segmen enjin pembakaran dalaman.
Segmen itu hanya mencatatkan keuntungan operasi sebanyak AS$96 juta, berbanding AS$901 juta pada tempoh sama tahun lalu, berpunca daripada penyusutan jualan dan kesan negatif tukaran mata wang asing.
Sementara itu, keuntungan operasi daripada bahagian kenderaan komersial turut merosot 56 peratus kepada AS$1.3 bilion, sebahagiannya disebabkan oleh pemberhentian pengeluaran yang dirancang.
Kerugian operasi dalam perniagaan kenderaan elektrik Ford pula mengecil kepada AS$849 juta daripada lebih AS$1.3 bilion pada tahun sebelumnya. – Bernama/dpa
