Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Kereta berprestasi tinggi dan popular di dunia, Ford Mustang kini memasuki pasaran Brunei Darussalam selepas ia secara rasminya dilancarkan oleh pengedar rasminya, Premier Automobiles Sdn Bhd di Bilik Pameran Ford, Beribi hari ini.
Pelancarannya disempurnakan oleh Pengurus Pemasaran Premier Automobile, Mark Paren bersama wakil-wakil Bank Baiduri dan BIBD At-Tamwil Berhad.
Ford Mustang terbaru yang diperkenalkan didatangkan dengan dua varian enjin 5.0 liter Ti-VCT V8 dan enjin 2.3 liter Eco Boost I-4 yang menjimatkan bahan api dengan transmisi automatik 6 kelajuan SelectShift, menandakan 50 tahun sejarah pengeluaran Mustang yang juga dikenali sebagai Muscle Car.
Rekaan terbaru Mustang ini turut menampilkan kecanggihan, kemodenan dan bentuk yang lebih aerodinamik, selain penjimatan bahan api yang dipertingkatkan melalui kawalan stereng lebih jitu dan pemanduan selesa.
Mustang 5.0 liter V8 mampu menghamburkan kekuatan 435 kuasa kuda dengan 530 Nm Tork manakala varian 2.3 liter Eco Boost berkemampuan 310 kuasa kuda dengan kekuatan 432 Nm Tork yang lebih menjimatkan minyak.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi sistem sambungan Ford SYNC, sistem amaran sebelum kemalangan (SOS), Kawalan Kestabilan Elektronik dengan AdvanceTrac (ESC) dan kamera undur serta enam beg udara bagi pemandu dan penumpangnya.
Pada pelancarannya hari ini, kereta terbaru itu menjadi tumpuan belia yang meminati kereta tersebut, melihat dan mencuba sendiri keselesaan kereta tersebut. Bagi mereka yang membeli kereta tersebut, mereka akan mendapat jaminan lima tahun.