DETROIT, 19 MAC – Ford sedang menarik balik lebih daripada 1.5 juta kenderaan di Amerika Syarikat (AS)dalam dua tindakan untuk menyelesaikan hos brek bocor dan pengelap cermin depan yang boleh terputus.
Dua penarikan balik terbesar itu meliputi hampir 1.3 juta kereta Ford Fusion dan Lincoln MKZ tahun 2013 sehingga 2018.
Syarikat itu berkata dalam dokumen yang disiarkan baru-baru ini oleh badan pengatur keselamatan bahawa hos brek depan boleh pecah dan membocorkan bendalir brek. Ia akan menambah pergerakan pedal brek dan menjadikan jarak berhenti lebih jauh.
Peniaga akan mengganti hos berkenaan. Ford akan menghantar surat notis kepada pemilik mulai 17 April. Mereka akan mendapat surat kedua sebaik sahaja alat ganti itu tersedia untuk mengatasi masalah tersebut.
Pemilik kereta yang mengalami masalah berkenaan harus menghubungi peniaga mereka, kata Ford. Terdapat beberapa alat ganti yang telah pun ada untuk kerja-kerja pembaikan. Syarikat berkata hanya dua peratus daripada kenderaan akan mengalami kebocoran hos brek.
Penarikan balik kedua merangkumi lebih daripada 222,000 pikap F-150 dari tahun 2021. Pengelap cermin besar juga boleh tercabut. Pemilik akan dihubungi mulai 27 Mac ini. – AP
