NOTTINGHAM, 2 JAN – Graham Potter mengakui keputusan 1-1 Chelsea menentang Nottingham Forest sesuatu yang amat mengecewakan dan menyukarkan lagi impian mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Raheem Sterling meletakkan Chelsea di hadapan di City Ground pada separuh masa pertama perlawanan pembukaan mereka pada kempen 2023.
Tetapi pertahanan kanan Ivory Coast, Aurier menyamakan kedudukan selepas waktu rehat dan Chelsea bernasib baik dapat mengelak daripada ditewaskan selepas Forest mendominasi perlawanan untuk tempoh yang lama pada separuh masa kedua.
Chelsea kini jatuh ke tempat kelapan liga selepas gagal untuk menang buat kali keenam dalam tujuh perlawanan liga terakhir mereka.
The Blues berada tujuh mata di belakang Manchester United di tempat keempat dalam perlumbaan untuk layak ke Liga Juara-Juara menerusi penamat empat teratas.

“Kami perlu lebih konsisten. Ia akan membantu untuk mendapatkan kembali rentak pemain, yang penting awda boleh membina konsistensi di tempat penting,” kata Potter.
“Ia sentiasa sukar kerana awda mempunyai banyak pasukan besar dengan ramai pemain dan jurulatih terbaik.
“Perjalanan kami masih jauh, jadi adalah satu kesilapan untuk memikirkan apa yang boleh berlaku dalam tempoh lima bulan.”
Hanya beberapa bulan selepas menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat, bos Chelsea, Potter mula mendapat kecaman apabila gagal membawa impak sejak perpindahannya dari Brighton.
Kemenangan 2-0 Chelsea menentang Bournemouth pada Boxing Day sepatutnya memberikan harapan yang lebih cerah pada 2023. – AFP

