Sunday, September 29, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Formasi dron, pancaran laser warnai perasmian SUKMA 2024

    KUCHING, 18 OGOS – Pertunjukan dron bercahaya dan pancaran laser pelbagai warna di dalam Stadium Sarawak malam tadi memukau kira-kira 40,000 hadirin yang menyaksikan upacara pembukaan gilang-gemilang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

    Perjalanan SUKMA 2024 yang membuka tirai secara rasmi kelmarin hingga 24 Ogos digambarkan menerusi formasi dron bercahaya yang membentuk pelbagai tulisan seperti ‘SUKMA Sarawak’, ’SUKMA XII’, ‘Semangat Perpaduan Membara’ dan ‘I Love Malaysia’. Bersesuaian dengan lagu tema iaitu ‘SUKMA Sarawak Kesukanan Dalam Perpaduan’, persembahan tradisional etnik kreatif Segulai Sejalai turut menyerikan upacara pembukaan temasya dwitahunan kebangsaan itu.

    Kemuncak perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bermula pada jam 9.45 malam dan orang ramai mulai membanjiri stadium seawal jam 5 petang bagi bersama-sama menyaksikan pembukaan temasya dwitahunan kebangsaan itu yang kembali ke Bumi Kenyalang selepas lapan tahun.

    Selepas ketibaan Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Stadium Sarawak terus bergema dengan persembahan pembukaan yang menampilkan kepelbagaian kaum dan tradisi negeri ini antaranya paluan kompang hadrah dan gendang serta tarian singa di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak.

    Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kedua-dua Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, menteri-menteri Persekutuan dan negeri serta ketua-ketua Menteri dan menteri-menteri besar. 

    Perarakan masuk 15 kontinjen bertanding didahului kontinjen Jalur Gemilang daripada Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Markas 1 Divisyen Infantri Malaysia diketuai Pegawai Waran II Wan Mohd Razmie Wan Hasan.

    Upacara menaikkan bendera SUKMA diiringi dengan petikan piano mengalunkan lagu tema ‘SUKMA Sarawak’ sebelum diteruskan dengan bacaan ikrar diketuai atlet terjun Sarawak, Enrique Maccartney Harold. 

     Malam perasmian turut diserikan dengan persembahan daripada artis terkemuka seperti Faizal Tahir, Jaclyn Victor dan Marsha Milan. Melengkapkan upacara, penyalaan obor oleh ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong sebagai simbolik temasya SUKMA 2024 dibuka secara rasmi. 

    Terdahulu, kemunculan replika burung kenyalang yang terbang di ruang udara Stadium Sarawak mengiringi larian obor oleh  peninju sensasi Sarawak Daeloniel Mcdelon Bong atau dikenali Kilat Boy menuju ke pentas kawah api sebelum menyerahkan obor kepada barisan atlet kelahiran Sarawak yang lain seperti Ramliee Ahmad, Watson Nyambek, Dieung Manggang, Daniel Bego dan lain-lain.

    Pandelela merupakan pemenang pingat gangsa acara 10 meter (m) platform individu Sukan Olimpik 2012 dan pingat perak bergandingan dengan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Rio 2016.

    Stadium Sarawak bermandi cahaya dengan pertunjukan bunga api yang mengakhiri upacara pembukaan itu.

    Persembahan bunga api memeriahkan upacara perasmian temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 malam tadi. – Bernama

    SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan kesemua acara berlangsung di 50 venue pertandingan dan lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei. – Bernama

    PERASMIAN SUKAN MALAYSIA (SUKMA) SARAWAK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda