Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum ASEAN fokus kelestarian, pelaburan alternatif

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Meskipun menyaksikan pemulihan pasca pandemik yang kukuh, landskap global sedang mengalami perubahan dalam ekonomi utama seperti inflasi yang meningkat serta cabaran-cabaran seperti isu rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik.

    Untuk mengharungi persekitaran dinamik berkenaan, perniagaan, pelabur dan penggubal dasar harus bersikap fleksibel, proaktif dan berwawasan, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama semasa Forum ASEAN ke-2: Masa Depan Kewangan yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Menurut beliau, kolaborasi terhadap isu-isu global seperti perubahan iklim dan teknologi adalah amat mustahak. Sementara cabaran-cabaran berkenaan menekankan keperluan bagi penyesuaian, ia juga mewujudkan peluang untuk inovasi dan pertumbuhan.

    Oleh itu, sentiasa bersikap proaktif dan bermaklumat merupakan kunci untuk mengemudi persekitaran kewangan yang sentiasa berubah. Penyesuaian itu amat ketara dalam dunia dana pencen di mana dana pencen semakin mempelbagaikan asetnya untuk mencapai pulangan yang kukuh di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi dan penduduk menua.

    Kebanyakan dana yang matang dan canggih kini banyak melabur dalam alternatif yang menawarkan pulangan yang lebih tinggi, lebih kepelbagaian serta peluang-peluang unik.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH : Para jemputan yang menghadiri forum tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dari 2018 hingga 2022, dana pencen Asia telah menambah secara signifikan peruntukannya kepada alternatif, yang telah mencapai 10 peratus aset persaraan di Asia (tidak termasuk Jepun) pada 2022.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyatakan bahawa trend itu mencerminkan anjakan yang lebih luas ke arah pelaburan alternatif dalam kalangan dana-dana pencen.

    Dalam konteks itu, tekan Yang Berhormat Dato, Negara Brunei Darussalam sedang memajukan matlamat kelestarian menerusi beberapa inisiatif, termasuk mengemasi kini garis panduan bagi pengeluaran debentur, selaras dengan ASEAN Sustainability Bonds Standards serta mempromosikan bon hijau dan lestari selaras dengan ASEAN Capital Market Forum’s Roadmap.

    Dengan lebih AS$48 bilion dalam bon berlabel ASEAN yang diterbitkan sejak 2016, langkah berkenaan akan meningkatkan pembiayaan untuk projek-projek kelestarian.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyatakan Laporan Tahunan ASEAN 2022-2023 menekankan komitmen Brunei terhadap kerjasama serantau menerusi kemudahan perdagangan merentas sempadan, pembaikan perkhidmatan, peningkatan pelaburan dan integrasi kewangan yang menukarkan cabaran kepada peluang bagi kerjasama yang kukuh serta kemakmuran bersama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda