Sunday, November 3, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum ASEAN fokus pulihara biodiversiti paya gambut

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT — Ekosistem tanah gambut adalah penting bukan sahaja untuk fungsi ekologi tetapi juga dalam mengekalkan biodiversiti, mengawal selia iklim dan menyediakan perkhidmatan ekosistem yang dinamik.

    Demikian antara yang ditekankan oleh Timbalan Pengarah Perhutanan, Awang Reni bin Haji Yahya, semasa menyampaikan ucapan pembukaan di Forum ASEAN mengenai Biodiversiti Paya Gambut, di Kiulap, hari ini.

    Beliau menegaskan bahawa Negara Brunei Darussalam berbangga dengan warisan ekosistem tanah gambutnya yang kaya dan unik.

    Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa tanah gambut tropika, yang merangkumi kira-kira satu pertiga daripada tanah gambut dunia dan merupakan antara persekitaran paling biodiverse, kini menghadapi ancaman ketara daripada aktiviti manusia seperti saliran untuk pertanian, kebakaran hutan dan pembangunan infrastruktur, yang telah menyebabkan penurunan kira-kira 80 peratus daripada kawasan tanah gambut global.

    Forum tersebut, yang dihoskan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Perhutanan dan Deutsche Gesellschaft fur Internationale Zusammenarbeit (GIZ) SUPA/REPEAT dengan sokongan Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB), akan berlangsung hingga 5 September.

    Awang Reni menyampaikan ucapan semasa forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang hadir semasa forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Seramai 52 peserta, termasuk pakar, penyelidik, dan pembuat dasar dari negara-negara anggota ASEAN dan Timor-Leste, hadir untuk membincangkan pelbagai topik berkaitan biodiversiti tanah gambut.

    Sepanjang forum, peserta akan menyertai siri pembentangan dan perbincangan yang meliputi pelbagai topik termasuk sumbangan biodiversiti tanah gambut kepada agenda biodiversiti global dan perubahan iklim, kepentingan tanah dan hutan paya gambut di Brunei Darussalam, serta status dan pemuliharaannya.

    Selain itu, perbincangan juga akan merangkumi klasifikasi spesies hutan paya gambut di Brunei mengikut standard International Union for Conservation of Nature (IUCN) dan perbandingan biodiversiti di kawasan tanah gambut yang dilindungi dan tidak dilindungi.

    Forum itu turut menampilkan perkongsian pengalaman dari negara-negara ASEAN mengenai pengurusan biodiversiti dan komitmen terhadap Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal 2030, serta pendedahan tentang keterdedahan biodiversiti tanah gambut akibat perubahan guna tanah dan iklim di Indonesia dan Malaysia.

    Selain itu, peserta forum juga berpeluang mengadakan lawatan lapangan ke hutan paya gambut di Badas, Daerah Belait sekali gus melibatkan aktiviti penanaman 50 anak pokok Shorea albida, yang mana akan memberikan pendedahan langsung serta penerangan kepada peserta mengenai inisiatif pemulihan hutan paya gambut dan projek inventori sumber hutan negara yang dilaksanakan di kawasan tersebut.

    Objektif utama forum itu adalah untuk meningkatkan pemahaman dan kerjasama dalam pengurusan biodiversiti tanah gambut, serta membincangkan strategi pemuliharaan yang berkesan bagi menghadapi ancaman kepada biodiversiti.

    Acara itu memberikan Negara Brunei Darussalam peluang untuk menunjukkan komitmennya terhadap pemuliharaan hutan paya gambut di negara ini dan bekerjasama dengan negara-negara serantau dalam menangani cabaran yang dihadapi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda