Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum Bank Baiduri kukuhkan komunikasi, kolaborasi

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV- Lebih daripada 60 orang pemimpin dan pengurus dari serata kumpulan berkenaan menghadiri Forum Kepimpinan Bank Baiduri yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, menyatakan forum yang menghimpunkan pemimpin dan pengurus bagi pembelajaran bersama dan dialog bermakna merupakan sebahagian daripada komitmen berterusannya kepada pembangunan kepimpinan yang direka untuk mengukuhkan komunikasi, akauntabiliti dan kolaborasi rentas kumpulan.

    Acara yang mengetengahkan tema, Memimpin Melalui Perbualan, meneroka bagaimana dialog bermakna dapat menjana keyakinan, meningkatkan prestasi dan memacu pertumbuhan organisasi.

    Sesi pagi mengetengahkan bengkel pemikiran rekaan interaktif yang dikendalikan oleh Human Inc di mana para peserta meneroka pendekatan berpusatkan manusia untuk mengukuhkan perbualan kepimpinan dan membina pasukan berdaya tahan.

    Para sebelah petang, sebuah panel perbincangan bertajuk, Memimpin Melalui Perbualan dalam Masa-Masa Mencabar, menghimpunkan penceramah unggul termasuk Pengarah Urusan Bunei Investment Agency (BIA), Ahmad Jefri Abdul Rahman, Penasihat Utama Human Inc, Synne Stohlmacher dan Ketua Perbankan Korporat dan Pembiayaan Perdagangan Bank Baiduri, Leanord Lee.

    Sesi itu mengetengahkan pentingnya kepimpinan tulen, komunikasi efektif dan kedayatahanan dalam landskap perniagaan yang berubah.

    Mengimbas forum berkenaan, Ketua Sumber Manusia Kumpulan dan Pentadbiran Bank Baiduri, Veronica Chong mengongsi bahawa kepimpinan yang berkesan bermula dengan perbualan yang bermakna.

    “Apabila kita mendengar dengan empati dan berkomunikasi dengan jelas, kita memperkasakan kakitangan kita untuk berkongsi idea, mencabar perspektif dan berkembang bersama ke arah visi kecemerlangan yang dikongsi”.

    Pada akhir forum berkenaan, anugerah pengiktirafan telah disampaikan kepada Ketua Jabatan dan pasukan mereka sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dalam Tinjauan Penglibatan Pekerja 2025.

    Sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan berterusan Bank Baiduri, Forum Kepimpinan kekal sebagai asas bagi para pemimpin untuk bertukar perspektif, mengukuhkan hubungan serta memberi inspirasi kepada pertumbuhan berterusan di seluruh organisasi.

    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda