Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seramai 168 orang telah menghadiri Forum Perniagaan yang buat julung kali dianjurkan Dewan Perniagaan Cina (CCC) Bandar Seri Begawan di Hotel J, baru-baru ini.
Forum tersebut memfokuskan kepada tiga bidang utama dalam membantu ahli persatuan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berjaya dalam ekonomi melalui kerjasama, teknologi digital dan perdagangan antarabangsa.
Hadir selaku tetamu kehormat pada forum itu, Pengerusi Forum Asia Inc, Dato Timothy Ong dalam ucaptamanya mengongsikan bagaimana perniagaan boleh berkembang maju dalam ekonomi kecil dengan memetik contoh dari negara kecil dan bidang praktikal lain yang boleh diberikan tumpuan oleh PKS. Perbincangan pertama menumpukan kepada ‘mencapai kemakmuran bersama menerusi teknologi digital, kerjasama dan perniagaan luar negara’ di mana ahli panel pertama membincangkan cara-cara semua pihak maju boleh mencapai kemakmuran dan memacu ekonomi Brunei ke hadapan.
Ahli panel terdiri daripada Presiden CCC, Lim Han Chiong; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Daniel Leong; Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri Basiuni; dan Ketua Pengurusan Hubungan Korporat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Andy Lim. Perbincangan panel kedua pula menghimpunkan pemimpin dan wakil dari Dewan Perniagaan Kebangsaan, Antarabangsa dan Cina serta YEAB untuk membincangkan cara persatuan yang berbeza boleh bekerjasama untuk memberi manfaat kepada ahlinya di samping menyumbang kepada ekonomi.
Acara kemuncak adalah pembentangan oleh Ted Tan daripada Felo Perusahaan Enterprise Singapura, yang berkongsi amalan terbaik kerajaan Singapura bekerjasama dengan persatuan yang berbeza untuk mengembangkan perniagaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Forum yang merupakan salah satu perhimpunan persatuan perniagaan terbesar itu diwakili oleh CCC, Dewan Perniagaan Kebangsaan, Dewan Perniagaan Melayu, Dewan Perniagaan Antarabangsa, Dewan Perniagaan India, Majlis Perniagaan BIMP EAGA Brunei Darussalam (BDBEBC), Gabungan Usahawan Melayu Brunei, Persatuan Usahawan Muda Brunei, dan Brunei Freight Forwarder Association (BRUFA).