Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampong Manggis Madang telah mengadakan Majlis Forum Perdana Tadabbur Surah Al-Ahzab: Ayat 45–48, sempena memperingati keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, merangkap Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid.
Forum berkenaan menumpukan penghayatan lima gelaran penting Nabi Muhammad SAW sebagaimana disebut dalam Surah Al-Ahzab, iaitu Shahida (saksi kepada umat), Mubashshira (pembawa berita gembira), Nadhira (pemberi amaran), Daiya ilallah (penyeru ke jalan Allah) dan Sirajan Munira (cahaya yang menerangi kehidupan).
Forum dipengerusikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei,Ustaz Haji Mohammad Rif‘at Atiyah bin Haji Anwari bersama panel jemputan iaitu Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Kamaru Salam Yusof; Profesor Fakulti Syariah dan Undang-Undang, UNISSA, Profesor Dato Dr Haji Zulkifli bin Haji Muda serta Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Ustaz Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Para ahli panel memberikan kupasan mendalam mengenai peranan Rasulullah SAW dalam konteks semasa serta kepentingan umat Islam meneladani akhlak Baginda khususnya dalam menghadapi cabaran dakwah masa kini.
Majlis turut dihadiri Penasihat dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, jemaah pelbagai lapisan masyarakat termasuk persatuan orang kelainan upaya pendengaran, serta penduduk sekitar Kampong Manggis Madang dan kawasan berhampiran. Suasana berlangsung dengan penuh khusyuk, ilmiah dan harmoni, diserikan dengan bacaan selawat dan diakhiri dengan jamuan ringan.
Penganjuran forum tersebut bertujuan menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul melalui tadabbur al-Quran, menanamkan rasa cinta terhadap keperibadian Rasulullah SAW serta menyuburkan budaya ilmu dan dakwah dalam kalangan masyarakat.
Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha mendidik masyarakat dan memperkukuh jati diri umat Islam.



