Friday, January 3, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum bincang aktiviti ALSA

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Persatuan Pelajar Undang-undang Asia (ALSA) Antarabangsa, baru-baru ini, telah mengadakan Forum ALSA 2023 untuk menyatukan ahli-ahli ALSA dari 17 negara Asia bagi membincangkan aktiviti-aktiviti akademik dan bukan akademik.

    Pada tahun ini, forum tahunan itu dianjurkan oleh ALSA India secara dalam talian.

    Ia juga menandakan permulaan penggal rasmi ALSA yang akan merangkumi perhimpunan agung tahunan, Majlis Mesyuarat Pentadbiran, dan pemilihan Lembaga Antarabangsa bagi sesi 2023/2024.

    Mewakili ALSA Brunei ialah enam ahli terdiri daripada ahli lembaga negara yang juga merupakan pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) iaitu Dayang Syafiah binti Abdul Hafidz, Awang Ahmad Zahid Borhan, Awang Aziezul Safwan bin Ag Zakaria, Dayang Nurul Iffah binti Haji Puasa, dan Awang Ahmad Muqri bin Marhain.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, salah satu tentatif forum ialah pembentangan laporan akauntabiliti tahunan yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk Penilaian ALSA yang biasa dikenali dalam kalangan ahli ALSA sebagai Anugerah Oscar.

    Setelah menilai prestasi keseluruhan, ALSA Brunei mempunyai penyertaan yang aktif dan responsif sepanjang Majlis Mesyuarat Pentadbiran penggal ini.

    ALSA Brunei juga secara konsisten menunjukkan kesediaan untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada Lembaga Antarabangsa. Selain daripada itu, ALSA Brunei juga diberikan pujian atas kehadiran, ketepatan masa dan komitmen mereka dalam semua mesyuarat.

    Sebagai mengiktiraf peranan ALSA Brunei dalam menganjurkan Persidangan ALSA 2024, Dayang Syafiah dan Awang Ahmad Zahid Borhan masing-masing telah dianugerahkan sebagai Best National Chapter President dan Best National Chapter Secretary-General.

    Forum ALSA hanyalah salah satu daripada banyak acara antarabangsa yang dijalankan oleh ALSA Antarabangsa, yang bertujuan untuk merealisasikan misi terasnya iaitu mempromosikan pendidikan undang-undang, memajukan pembangunan profesional dan berdedikasi kepada khidmat masyarakat di samping menerapkan nilai asas seperti kepimpinan, integriti, dan kecemerlangan.

    Antara yang hadir pada sesi Forum ALSA yang dianjurkan secara dalam talian. – Gambar serahan ALSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda