Oleh Yusrin Junaidi –
TUTONG, 7 FEB – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dengan kerjasama Bahagian Imarah, Bahagian Hal Ehwal Muslimah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong hari ini mengadakan Program Rehlah Ila Ramadan (Road to Ramadan).
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa.
Program diisikan dengan acara forum dengan tajuk perbincangan berkaitan dengan Ramadan dan kesihatan.
Hadir selaku moderator pada sesi kedua forum tersebut ialah Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Saufi Akmaluddin bin Sabli.
Manakala ahli panel terdiri daripada Imam Tingkat 1, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin dan Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Awang Waajidun Ni’am bin Haji Dollah.
Program yang diadakan empat kali ini antara lain bertujuan untuk memeriahkan lagi bulan Ramadan yang akan datang supaya umat Islam di Negara Brunei Darussalam mendapat ilmu tambahan sebagai panduan menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan sekali gus sebagai satu cara bagi orang ramai umumnya untuk mengulang kaji ilmu kerana bulan Ramadan hanya datang setahun sekali.
Selain itu, dengan adanya program seumpamanya, diharapkan ilmu-ilmu yang disampaikan akan dapat diamalkan dan disebarkan kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan yang akan menjelang nanti.