Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum bincang pelihara akal buka mesyuarat MABIMS

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Kali Ke-48 Bagi MABIMS Tahun 2024 telah bermula dengan pelaksanaan forum bertema Memelihara Akal Dalam Maqasid Syariah: Bagaimana Belia Islam Dapat Membantu?” bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi.

    Tahun ini, Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menjadi tuan rumah bagi mesyuarat selama dua hari berkenaan dengan kehadiran Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang juga selaku Ketua Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Brunei.

    Forum kali ini menekankan kepentingan pemeliharaan akal dalam konteks Maqasid Syariah bersesuaian dengan ketika masyarakat menghadapi pelbagai tekanan dan cabaran harian yang menjadikan kesihatan mental semakin kritikal. Selain itu, ia juga sebagai salah satu Fokus Strategik dalam Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025 mengutamakan potensi belia yang mana Negara Brunei Darussalam sebagai negara penyelaras.

    Forum berkenaan juga bertujuan untuk membincangkan dan berkongsi pengalaman sesama Negara-negara Anggota MABIMS dalam menangani isu kesihatan mental di kalangan komuniti, serta merancang modul dan program intervensi yang berlandaskan ajaran Islam bagi meningkatkan kesejahteraan mental di rantau MABIMS.

    Tiga ahli panel yang menyertai forum berkenaan adalah Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan juga mewakili Negara Brunei Darussalam; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Maqasid Syariah, JAKIM, Yang Berusaha Encik Mohd Suhaimi bin Mohd Yusof juga mewakili Malaysia; dan Pendakwah Bebas dari Republik Singapura, Yang Berusaha Ustazah Nur Hidayah binti Azman.

    Sementara moderator forum ialah Penolong Pensyarah, Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan dan Ketua Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti, KUPU SB, Haji Mohammad Khairul Azhar bin Haji Idris.

    Sebagai pembukaan bagi memberkati dan melancarkan forum, bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Awang Saufi bin Haji Suhaini.

    Turut hadir ialah Ketua-ketua SOM dan delegasi Negara-negara anggota MABIMS; pegawai-pegawai kanan dan para pegawai daripada kementerian termasuk KHEU, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; belia-belia daripada Majlis Belia Brunei dan Program Keugamaan Belia; mahasiswa-mahasiswi KUPU SB dan para pelajar daripada Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.

    Caption: Gambar oleh Muiz Matdani

    Haji Mohammad Rosli semasa menghadiri forum berkenaan.
    Forum yang dikendalikan oleh Haji Mohammad Khairul Azhar.
     Pengiran Norizzati semasa menyampaikan pembentangan.
    Atas & BAwah: Antara yang hadir ke forum berkenaan.
    GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda