Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura hari ini menganjurkan Forum Penulis Sasterawan Tamu/Asuhan MASTERA di Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas sempena Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) yang berlangsung ketika ini.
Ahli-ahli panel terdiri daripada Awang Abdul Aziz bin Haji Tuah dari Brunei Darussalam, Dr Ganjar Harimansyah dari Indonesia, Siti Jasmin binti Ibrahim dari Malaysia dan Juffri bin Supa’at dari Singapura dan dipengerusikan oleh Ahli MASTERA Brunei Darussalam, Awang Mohd Zefri bin Mohd Zain Arif.
Forum yang merupakan projek kemasyarakatan sastera kali pertama itu bertemakan ‘Pemantapan Sastera dalam Revolusi Industri 4.0’ membincangkan sedikit sebanyak mengenai revolusi industri yang memfokuskan pembangunan teknologi canggih yang mampu mengubah kehidupan dan cara bekerja.

Menurut ahli-ahli panel, revolusi ini secara umumnya membabitkan Internet of Things (IoT) dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah sastera. Sebagai penulis atau penggiat seni, gelombang ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya terutama dalam memantapkan lagi karya masing-masing dan meraih ilmu daripadanya selain menyalurkan karya sendiri untuk sama-sama dinikmati pencinta sastera di negara-negara lain.
Forum dihasratkan dapat menyebarkan dan mengongsi ilmu antara ahli panel, pembentang kertas kerja, peserta seminar dan forum.