Forum bincang tangani masalah kesihatan mental

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Oktober, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama mahasiswa Universiti Brunei Darussalam menerusi Projek H.O.P.E telah mengendalikan forum ‘Belia Muda dan Kesihatan Mental dalam Perubahan Dunia’ selaras dengan tema sambutan tahun ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada sambutan yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman yang turut menyempurnakan pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018.

Forum tersebut membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh belia seperti buli siber, bunuh diri, tanda-tanda awal penyakit mental dan kesan-kesan trauma yang memerlukan masa dan perhatian.

Tiga orang ahli panel diundang pada forum tersebut iaitu Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, Dayangku Dr Raidah Hayati binti Pengiran Dr Haji Mohamed dari Jabatan Psikiatri Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Dayang Sarah binti Haji Abdul Mutalif daripada Persatuan Kemajuan Insan (KESAN).

Dunia sememangnya mengalami perubahan yang pesat setiap hari sama ada dari aspek dunia fizikal mahupun dunia maya (online). Penggunaan teknologi online yang semakin meluas memberikan pelbagai faedah dan impak terhadap setiap penggunanya sama ada baik mahupun sebaliknya.

Dalam melindungi dan memperkasakan generasi akan datang daripada terjerumus dengan masalah mental, pelbagai program kesihatan mental untuk golongan belia telah diadakan termasuklah Kempen Brunei Bebas Buli dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah, Program Jaga Minda Kita dan sebagainya.

Kementerian Kesihatan berharap dengan adanya program seperti ini dapat membantu golongan belia menangani isu kesihatan mental mereka dengan membuat perbincangan terbuka bagi sama-sama menghentikan stigma dan memberi sokongan kepada mereka yang mengalami penyakit mental serta mempromosikan kepentingan penjagaan kesihatan mental.

Pada majlis berkenaan, Haji Abdul Manap turut berkesudian menyampaikan cenderahati kepada ahli-ahli panel forum tersebut.

Awang Mohd Khairul Nazif, Dayangku Dr Raidah Hayati dan Dayang Sarah semasa menyampaikan forum sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018, kelmarin