Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum bincang usaha jadikan Asean destinasi pelancongan

    KUCHING, 1 Mac – Forum Pelancongan Digital 2018 yang akan diadakan di sini bermula 8 Mac dijangka membincangkan usaha menggabungkan visi pembuat dasar dan penggiat terkemuka dalam industri pelancongan ASEAN bagi meningkatkan pertumbuhan dan menonjolkan negara anggota ASEAN sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

    Forum dua hari anjuran Persatuan Usahawan ASEAN-China (ACEA) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sebagai rakan strategik, duta atau wakil dari negara ASEAN itu dijangka berkongsi pandangan berharga mereka berhubung topik itu.

    Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata para penceramah dijangka membincangkan topik tentang ‘bagaimana Era Digital Meningkatkan dan Mempengaruhi Industri Pelancongan ASEAN: Mempromosi dan Berinteraksi di seluruh negara ASEAN, dunia dan kepada Malaysia’.

    Katanya melalui forum ini, ACEA berharap dapat mencapai satu platform di mana semua negara anggota ASEAN dan China boleh diletakkan di bawah satu bumbung, untuk meneroka peluang kerjasama dalam industri pelancongan selain berkongsi pandangan, pengalaman dan idea mengenai industri pelancongan di negara masing-masing, dan memanfaatkan era digital dengan menggunakan teknologi moden bagi meningkatkan industri itu.

    Bercakap kepada pemberita di sini, Karim berkata ACEA juga berharap untuk memperkenalkan dan mempromosikan Sarawak sebagai wilayah pelancongan yang baharu bukan sahaja di ASEAN, tetapi juga kepada dunia.

    Katanya 4.6 juta pelancong berkunjung ke Sarawak tahun lepas dan daripada jumlah itu 38,204 adalah dari China, ketibaan ketiga terbesar selepas Indonesia dan Brunei, dengan jumlah perbelanjaan mereka mencapai RM8.59 bilion. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda