Forum dapatkan cadangan tangani pendatang tanpa izin

KOTA KINABALU, 26 MEI – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah akan menganjurkan satu forum di sini bagi mendapatkan pandangan umum dan cadangan mengenai cara untuk menangani isu pendatang tanpa izin yang berlanjutan sejak sekian lama terutama di Sabah.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata masanya sudah tiba untuk pemegang taruh dan pihak berkaitan mengadakan perbincangan serta mengusahakan satu pelan jangka panjang holistik bagi menangani pendatang tanpa izin dan individu tak berdokumen di Malaysia.

“Bagi pendatang tanpa izin di Sabah, STAR Sabah akan menganjurkan satu forum pada tahun ini selepas ketidakpastian pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Matlamat forum ini ialah untuk melibatkan semua pemegang taruh, pihak berkepentingan dan orang ramai bagi mendapatkan pandangan, cadangan serta penyelesaian bagi menyelesaikan, jika boleh, masalah pendatang tanpa izin terutama di Sabah yang telah ditutup selama beberapa dekad,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata isu pendatang tanpa izin dan warga asing tanpa dokumen di Malaysia telah mendapat banyak liputan media serta mencetuskan kemarahan warganet di media sosial baru-baru ini. – Bernama