Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Dengan dialog yang mengetengahkan hala tuju ke arah pembangunan mampan, lebih daripada 100 orang penggubal dasar kanan, pemimpin perniagaan, pakar kemampanan dan rakan kongsi serantau menghadiri Forum Ekonomi Lestari 2025, bertajuk Naturally Brunei: Pathway to Sustainable Growth, yang berlangsung di Hotel Radisson di ibu negara, hari ini.
Forum dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Brunei dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Brunei dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dan Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), itu merupakan sebahagian daripada Program Ekonomi Brunei yang sedang berjalan.
Pada forum berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi dalam ucaptamanya menggariskan visi Brunei bagi sebuah ekonomi hijau yang mengimbangkan kemakmuran dan kesihatan planet.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menanamkan kemampanan di serata industri untuk mencapai kedayatahanan ekonomi dalam jangka panjang.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD) dan Ahli ASEAN-BAC Brunei, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad mengulangi komitmen sektor swasta terhadap menyokong agenda ekonomi mampan Brunei.




Beliau menekankan pentingnya untuk menyelaraskan pertumbuhan perniagaan dengan matlamat iklim serta memupuk persekitaran yang membolehkan inovasi hijau.
Sementara itu, Pemangku Pengarah JKP, Dayang Salinah bin Haji Mohd Salleh telah mengetengahkan peranan pelancongan dalam pertumbuhan ekonomi mampan dengan memetik jumlah pelawat ke Brunei yang meningkat serta potensi Brunei sebagai sebuah hab bagi pengalaman pelancongan mesra-eko yang asli.
Beliau turut menggariskan pentingnya pelancongan berasaskan komuniti dalam memperkasakan komuniti tempatan sambil memulihara warisan semula jadi dan kebudayaan Brunei.
Forum berkenaan mengetengahkan pembentangan yang meneroka strategi-strategi kebangsaan untuk melaraskan kemampanan dengan keutamaan ekonomi.
Perbincangan turut menumpukan kepada kolaborasi merentas sempadan, menanamkan amalan ESG ke dalam operasi perniagaan serta menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengguna pakai standard kemampanan antarabangsa.
Dalam pada itu, sesi panel yang diadakan memberikan gambaran mengenai membina ekosistem inklusif bagi pertumbuhan mampan dan pentingnya kerjasama rentas sempadan, inovasi serta perkongsian ilmu pengetahuan.
Di samping itu, kajian kes mengenai penyelesaian ekonomi kitaran menunjukkan potensi inovasi rendah teknologi dalam mengurangkan pembaziran makanan dan menyokong pembangunan hijau.
Segmen pelancongan pula meneroka persimpangan antara pemuliharaan, inovasi digital dan pelancongan mampan di mana perbincangan menyerlahkan nilai ekopelancongan akar umbi, pemulihan habitat serta bagaimana teknologi boleh meningkatkan pengalaman pelancongan yang khusus dan berimpak rendah.
Forum itu berakhir dengan panel penutup mengenai pelancongan mampan, di mana pakar tempatan dan antarabangsa berkongsi perspektif mengenai mengapa kehijauan bukan sahaja diperlukan daripada segi alam sekitar tetapi juga bermanfaat daripada segi ekonomi.
Forum Ekonomi Lestari 2025 mengesahkan komitmen seluruh negara untuk memajukan pembangunan ekonomi rendah karbon yang inklusif.
Dengan meletakkan kemampanan sebagai teras dasar dan perniagaan, acara berkenaan menandakan satu langkah ke hadapan yang bermakna dalam membentuk Brunei siaga masa depan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan kemakmuran.