Sunday, June 30, 2024
28.6 C
Brunei

    -

    Forum Kebudayaan Belia ASEAN labuh tirai

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Forum Kebudayaan Belia ASEAN ke-19 dan ASEAN +3 ke-9 yang berlangsung di Dewan Bankuet BRIDEX, Jerudong, sejak 24 Jun telah melabuhkan tirainya hari ini dengan penyerahan simbolik bendera ASEAN kepada negara tuan rumah bagi Forum Kebudayaan Belia ASEAN ke -20 dan ASEAN +3 ke-10, 2025.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan penyerahan bendera ASEAN itu, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Penyerahan bendera ASEAN telah disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle, kepada Universiti Chulalongkorn, Thailand yang akan menjadi negara tuan rumah forum 2025.

    Terdahulu, Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Global, UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean, dalam ucapan penutup antara lain mengongsikan, sejak lima hari lalu, UBD telah menyaksikan sambutan sebenar pertukaran budaya, persahabatan, dan pembelajaran.

    “Para peserta muda bukan sahaja mempamerkan bakat luar biasa mereka tetapi juga menyelami perjalanan penemuan dan pertumbuhan yang akan kekal bersama mereka sepanjang hayat,” jelasnya.

    Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada delegasi 20 buah universiti anggota Rangkaian Universiti-universiti ASEAN (AUN) termasuk tujuh rakan kongsi dari negara-negara ASEAN +3.

    Forum tahunan itu ditubuhkan sejak 2003 bersama universiti-universiti anggota AUN dari 10 buah negara anggota ASEAN dan dikembangkan kepada ASEAN+3 dengan delegasi dari China, Jepun dan Korea pada 2012.

    Forum tersebut juga menawarkan campuran yang kaya pengalaman kebudayaan termasuk bengkel komunikasi merentas budaya, kepimpinan dan pembangunan kemahiran artistik dalam bidang-bidang seperti seni mempertahankan diri Brunei, teater, muzik tradisional dan sesi mengenai kepelbagaian bahasa.

    Dr Hazri menyerahkan bendera ASEAN kepada Universiti Chulalongkorn, Thailand yang akan menjadi negara tuan rumah forum 2025. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Tetamu kehormat bergambar ramai dengan ketua delegasi dari negara-negara yang menyertai forum tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...