Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seiring dengan usaha untuk menyebarluaskan kefahaman serta kesedaran orang ramai mengenai keutamaan maqasid syariah dalam sistem pengurusan dan pentadbiran setiap organisasi, maqasid syariah telah menjadi perbincangan utama pada Forum Khas sempena Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah pagi tadi.
Dengan tajuk ‘Pengukuhan Maqasid Syariah dalam Pemerintahan Negara dan Kepimpinan Ulul Amri,’ forum tersebut mengetengahkan peranan maqasid syariah dalam mencorak pelaksanaan tadbir urus dan kepimpinan, selain untuk mengukuhkan pelaksanaannya dalam aspek perkhidmatan bagi menjamin kesejahteraan dan kestabilan bermasyarakat di negara ini.
Hadir mendengarkan forum yang diadakan di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), Bandar Seri Begawan itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pegawai-pegawai kanan yang diketuai oleh setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli akademik serta wakil-wakil perbankan dan perusahaan.



Forum dipengerusikan oleh Mantan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, manakala ahli panel terdiri daripada Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof; Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa‘ezah binti Haji Ahmad Ariffin; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan Profesor Adjung di Universiti Brunei Darussalam, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.
Forum tersebut antara lain juga menerangkan mengenai maksud maqasid syariah yang bererti matlamat atau tujuan yang dikehendaki oleh Islam dalam menetapkan sesuatu hukum bagi menjamin maslahat umat manusia, yang mana ia menitikberatkan lima aspek utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Sementara itu, antara maksud Ulul Amri yang dibincangkan dalam forum tersebut pula adalah para penguasa yang sah dan juga ahli ilmu yang tegak di atas sunnah. Dalam hubungan ini, Ulul Amri berperanan penting dalam memelihara kehidupan manusia di sesebuah negara dengan aman dan teratur, memastikan manusia berlaku adil dengan ketinggian moral dan integriti serta melakukan perubahan yang perlu dengan perancangan yang terbaik dan menepati kaedah-kaedah maqasid syariah.
Ia juga bagi tujuan kebaikan dari segi undang-undang dan peraturan yang bernaung di bawah prinsip Islam agar dapat dinikmati bukan saja untuk umat Islam tetapi juga oleh masyarakat secara keseluruhannya.
Di Brunei, forum menyentuh mengenai pelaksanaan maqasid syariah yang tidak hanya terbatas dalam tadbir urus perkhidmatan agama sahaja, ianya telah dan sedang terlaksana dalam setiap aspek perkhidmatan dan kepimpinan di negara ini bagi menjamin ke-sejahteraan dan keselamatan sosial serta kestabilan negara.
Turut disentuh ialah pengukuhan maqasid syariah itu sendiri selaras dengan hasrat negara sebagaimana yang ditegaskan dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-34. Dalam titah berkenaan, Baginda Sultan telah menegaskan, sebagai sebuah negara Islam yang progresif, pengukuhan maqasid syariah adalah menjadi pra-syarat kepada kejayaan negara.
Jelas Baginda lagi, pengukuhan ini adalah sangat penting sebagai pemangkin ke arah memastikan negara terus menuai kemakmuran dan kesejahteraan.
Manakala dalam pemerintahan sesebuah negara, setiap penggubalan dasar dan polisi serta susunan strategi adalah sangat penting untuk dilandaskan di atas kerangka maqasid syariah agar kemaslahatan rakyat dan negara terus terjamin dengan makmur dan sejahtera serta sentiasa progresif dan berjaya.
Pengukuhan maqasid syariah dalam urus tadbir segala bidang-bidang perkhidmatan negara akan menyerlahkan lagi bahawa syariat Islam adalah bersifat dinamik dan fleksibel sejajar dengan kemaslahatan sepanjang zaman, selagi mana tidak ada pelanggaran terhadap nasnas syarak.
Dengan penerapan dan pengamalan nilai-nilai maqasid syariah dalam semua bentuk urus tadbir negara, ianya akan menjadikan Negara Brunei Darussalam sentiasa menjadi negara yang makmur di bawah inayah dan petunjuk Allah SWT dengan rakyat dan penduduknya sentiasa mendapat rahmat.
Forum khas itu sangat bersignifikan dan untuk pertama kali, maqasid syariah dibincangkan secara terbuka kepada umum dengan siaran langsung melalui saluran-saluran RTB Perdana, RTB Sukmaindera, Nasional FM, Rangkaian Nur Islam dan RTBGo.