Sunday, September 22, 2024
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum ketengahkan seni sebagai rawatan kesihatan mental

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesihatan mental telah dikenal pasti sebagai kebimbangan kesihatan awam yang serius. Oleh itu, memelihara dan menjaga kesejahteraan termasuk kesihatan mental adalah amat penting.

    “Pada masa ini, terdapat hampir 1 bilion orang yang hidup dengan gangguan mental di seluruh dunia. Gangguan mental merangkumi pelbagai tanda daripada yang ringan seperti kerisauan kepada yang serius seperti tingkah laku tidak normal,” dinyatakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.

    Belia berucap demikian di forum bertajuk Canvas of Calm, Memanfaatkan Seni unuk Healing dan Kesejahteraan yang berlangsung di Garden’s Veranda, Rimba, kelmarin.

    Belia turut menambah bahawa keperluan kesihatan mental dan intevensi psikososial akan meningkat sejajar dengan jangkaan jumlah pesakit mental yang kian bertambah, seraya menyatakan keadaan ini memerlukan pelaburan yang lebih baik dan inovatif termasuk penggunaan terapi seni dalam program sokongan perkhidmatan rawatan kesihatan mental.

    Terapi seni adalah semakin popular dalam bidang kesihatan mental di seluruh dunia kerana ia menyediakan pendekatan berorientasikan pemulihan, berpaksikan kepada pesakit yang merangkumi keperluan emosi, rohani , sosial dan keperluan klinikal.

    Sehubungan itu, terapi seni boleh berfungsi sebagai kaedah yang bernilai tinggi dan dapat melengkapkan rawatan penjagaan kesihatan mental tradisional seperti kaunseling atau ubat-ubatan dan berfungsi untuk meningkatkan fungi kognitif, daya tahan emosi serta keyakinan diri.

    Forum anjuran Syarikat SynARTgy dan disokong oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan itu bermatlamat untuk meneroka aspek terapeutik seni sebagai kaedah yang berkesan untuk pengawalan diri, ekspresi emosi dan kesejahteraan secara keseluruhan, untuk mengkaji kesan menenangkan seni serta keupayaannya untuk menyediakan ruang yang selamat bagi memproses emosi dan pengalaman.

    Ia juga memberikan strategi yang praktikal dengan menggunakan seni sebagai mekanisme untuk mengatasi serta memfokuskan pada keterangkuman terapi seni, kebolehcapaian dan potensi manfaatnya untuk individu dari pelbagai latar belakang dan kebolehan.

    Forum berkenaan disertai oleh lebih dari 80 orang peserta terdiri daripada wakil-wakil dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, JobCentre, syarikat-syarikat yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan pekerja, ibu bapa, guru dan pelajar dari Pusat Ehsan, ABLE Brunei, Pusat Bahagia Eric Goh, Pusat Bahagia Pulaie dan La Vida Brunei, kaunselor serta individu.

    Penceramah utama forum berkenaan ialah Ahli Terapi Seni Kreatif berdaftar dari New Zealand, Dr Amanda Woodward yang merupakan penyelia yang diktiraf dengan Persatuan Seni Kreatif Australia, New Zealand dan Asia (ANZACATA) serta seorang ahli akademik dari Institut MIECAT, Naarm Melbourne, Australia.

    Suasana semasa forum berlangsung. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN

    Dr Woodward berkongsi pengalamannya dalam seni dan pembuatan seni dalam terapi, kesejahteraan komuniti, pendidikan, penyelidikan, penyeliaan dan amalan penjagaan diri. Beliau juga turut menawarkan teknik berasaskan seni yang didapati menyokong dan mungkin dapat membantu dalam berkomunikasi ‘apa yang penting’ apabila perkataan sahaja tidak mencukupi atau gagal.

    Penceramah kedua ialah ahli terapi seni terlatih di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dan ahli ANZACATA, Dayang Nur Nadiah Suhailli yang berkongsi pengalamannya dalam taklimat yang membincangkan mengenai terapi seni yang terdapat di negara ini selain pengalamannya bekerja dengan orang kurang upaya dan bagaimana mereka mendapat manfaat daripada pembuatan seni.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda