Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 9 Okt – Sebagai salah satu pengisian Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Forum Khas Melayu Islam Beraja (MIB) telah diadakan di Pusat Insani di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.
Barisan ahli panel pada forum tersebut ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamzah bin Haji Sulaiman yang membincangkan usaha-usaha kerajaan mengekalkan mutu kehidupan dari pelbagai aspek; Pengarah Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili dengan membentangkan MIB dalam institut pengajian tinggi dan amalan doa berdasarkan akidah yang betul serta kesannya dalam keharmonian beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Mantan Penolong Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Pengiran Dr. Hidup bin Pengiran Haji Samsuddin pula menekankan mengenai mempertahankan Adat Istiadat Diraja dan budaya Brunei serta keseimbangan perubahan dunia antarabangsa manakala itu, mempengerusikan forum ialah Dr. Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dari Universiti Brunei Darussalam.
Majlis tersebut dihasratkan untuk menjadi wadah mengukuhkan taat setia kepada kepimpinan pemerintahan beraja dan azam untuk mengekalkan keamanan, kesejahteraan serta kebahagiaan dalam negara MIB yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljama’ah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan, yang dipercayai dapat menyuburkan cinta kepada negara dan kasih kepada raja.
Ia dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Pemberigaan MIB di bawah Jawatankuasa Sektoral Media, Publisiti dan Percetakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Penganjuran forum khas tersebut telah bermula pada 2 Oktober lalu di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dan kemudiannya telah dilaratkan di keempat-empat daerah dengan menampilkan beberapa ahli panel dalam kalangan pegawai kanan kerajaan dari pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan serta pihak swasta yang pada umumnya menekankan signifikan titah pemasyhuran kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, amalan Doa Allah Peliharakan Sultan dan lagu kebangsaan dalam teras negara MIB.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Yang Berhormat Awang Hanafi bin Mohd Siput; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi dan Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh; pemangku raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) selaku pengerusi Forum Khas MIB; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim; para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Belait, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.