BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Forum Khas Melayu Islam Beraja (MIB) bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta akan diadakan di keempat-empat daerah pada 2, 4, 9 dan 12 Oktober depan.
Perkara ini telahpun dinyatakan oleh Pemangku Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar semasa sidang media yang berlangsung di Bilik Persidangan, KUPU SB, pagi tadi.
Forum berkenaan akan menampilkan beberapa orang ahli panel yang terdiri daripada kalangan pegawai kanan kerajaan dari pelbagai kementerian dan jabatan serta swasta yang pada umumnya akan menekankan signifikan titah pemasyhuran kemerdekaan negara Brunei, amalan Doa Allah peliharakan Sultan dan lagu kebangsaan dalam teras negara MIB.
Ia akan ditekankan melalui soroton sejarah amalan MIB yang telah membawa kepada kesejahteraan negara sepanjang pemerintahan Baginda Sultan.
Forum berkenaan juga akan menonjolkan usaha-usaha berterusan kerajaan dalam menjunjung titah pemasyhuran berkenaan di pelbagai sudut seperti peningkatan berterusan mutu pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan yang berkaitan engan ketenteraman, keselamatan, kebajikan dan kebahagaian rakyat.

Pada 2 Oktober, forum akan bermula di Daerah Brunei dan Muara di mana ia akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan dijangka hadir selaku tetamu kehormat majis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Manakala itu, bagi Daerah Tutong, ia akan berlangsung pada 4 Oktober di Dewan Kemasyarakatan, Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Bagi Daerah Belait pula, ia akan diadakan di Pusat Insani Seria pada 9 Oktober yang akan dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd. Tamit.
Manakala itu, pada 12 Oktober, forum khas akan diadakan di Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong dan bakal hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.